KOTA BHARU – Polis Kelantan menyiasat dan membuka semula sebanyak lebih 100 kes melibatkan sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau along yang diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan semula kes berkenaan merupakan usaha pihaknya untuk membanteras habis-habisan kegiatan along di Kelantan.
“Saya difahamkan, along yang menjalankan kegiatan pinjaman wang secara haram di Kelantan datang dari Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Sindiket ini mengambil kesempatan dalam kesempitan masyarakat yang mengalami masalah kewangan,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini semalam.
Mohd. Yusoff memberitahu, kebanyakan kes NFA yang dilaporkan sebelum ini melibatkan along mengugut serta menyimbah cat ke rumah peminjam yang terdiri daripada peniaga dan penjawat awam.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Yusoff berkata, pihaknya menahan empat lelaki yang berusia dalam lingkungan 20-an untuk membantu siasatan berhubung kes ugutan menerusi contengan menggunakan dakwat merah pada dinding Lapang Sasar Polis Kontinjen Kelantan di Gunong, Bachok pada 22 Disember lalu.
Menurutnya, empat lelaki itu bagaimanapun sudah dibebaskan selepas memberi keterangan. – KOSMO! ONLINE














