fbpx
Anak bongsu (dua,kiri) kepada pasangan Amir Izuddin dan Farahanis Mohd Jaafar menghebuskan nafas terakhir pada pukul 5.01 petang, 8 Disember lalu.

Selepas Yusuf ‘pergi’ kehidupan kami tidak seperti dulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Rumah terasa hidup bila dia ada…bila dia pergi, setiap sudut rumah jadi sunyi.”

Demikian luahan pilu Amir Izuddin Mohd, 33, yang masih bergelut susulan pemergian anak bongsunya, Muhammad Yusuf, 4, yang meninggal dunia akibat Severe Hypoxic Ischemic Encephalopathy iaitu kerosakan otak teruk disebabkan kekurangan oksigen.

Muhammad Yusuf menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 5.01 petang, 8 Disember lalu di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas hampir 30 jam bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

Menurut bapa dua anak itu, arwah Muhammad Yusuf bukan pesakit kronik kerana mempunyai penyakit asma yang terkawal sejak usia dua tahun.

“Yusuf aktif, kuat bercakap, suka berlari, melukis, menyanyi, suka tegur orang yang dia jumpa. Dia jenis ‘annoying’ sikit, tapi dialah yang buat semua orang senyum. Rumah memang rasa hidup bila dia ada,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Peniaga itu berkata, pada pagi 7 Disember lalu, anak bongsunya mengalami selesema dan masih mampu bercakap selain mendengar arahan sebelum mengadu berasa tidak selesa di bahagian dada akibat kesukaran bernafas.

“Kami (suami isteri) bekerja, jadi nenek Yusuf membawanya ke klinik berdekatan untuk rawatan nebulizer. Setibanya di klinik, Yusuf dibawa ke bilik rawatan.

“Dia tenang atas riba atuknya. Bagaimanapun, selepas 15 minit, bacaan oksigen Yusuf tiba-tiba merosot kepada 90 dan 91 peratus,” dakwanya.

Amir Izzuddin yang tinggal di Kubang Tangga, Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu berkata, beberapa saat kemudian, anaknya rebah tidak sedarkan diri di riba datuknya sebelum dikejarkan ke HSNZ.

“Di hospital itu, jantung Yusuf berdenyut semula selepas hampir 30 minit resusitasi, namun keadaannya masih koma. Doktor beritahu otak Yusuf sudah lama tidak terima oksigen. Bengkak dan tidak berfungsi.

“Anak kecil yang ceria itu tidak lagi membuka mata, tidak lagi memanggil ‘ibu’ dan ‘abah’, tidak lagi menyahut kakaknya. Kami diberi tempoh 48 jam, tapi Yusuf cuma bertahan 30 jam. Tepat pukul 5.01 petang, 8 Disember Yusuf pergi,” katanya.

Muhammad Yusuf dikebumikan di Perkuburan Makam Lama Cabang Tiga, Kuala Terengganu selepas isyak. Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN