JAKARTA – Mulai 2 Januari lalu, Indonesia menguatkuasakan bahawa amalan poligami yang dilakukan tanpa mematuhi prosedur undang-undang boleh dikenakan hukuman jenayah, lapor portal berita Radar Online hari ini.
Susulan penggubalan Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023 mengenai Kanun Keseksaan (KUHP), ia membawa perubahan penting kepada peraturan perkahwinan di Indonesia.
Salah satu perkara yang mendapat perhatian umum ialah peruntukan hukuman jenayah terhadap lelaki yang berkahwin lagi secara senyap-senyap, tanpa persetujuan isteri yang sah dan tanpa kebenaran mahkamah.
Amalan tersebut kini tidak lagi dianggap sekadar pelanggaran pentadbiran, sebaliknya boleh membawa kepada hukuman penjara.
Sementara itu, pakar undang-undang jenayah Universiti Muhammadiyah Surakarta (UMS), Muchamad Iksan berkata, peraturan tersebut dinyatakan dengan jelas dalam Perkara 402 KUHP baharu.
“Justeru, seorang lelaki yang masih terikat dalam perkahwinan yang sah dan berkahwin semula tanpa kebenaran boleh dikenakan hukuman jenayah. Ini bermakna, poligami secara sembunyi-sembunyi boleh dihukum berdasarkan KUHP baharu ini,” kata Iksan.
Beliau menjelaskan bahawa dalam Perkara 402 ayat (1) KUHP baharu, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara maksimum empat tahun enam bulan atau denda maksimum kategori IV, iaitu sehingga 200 juta rupiah (RM48,000). – AGENSI














