GEORGE TOWN – Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) iaitu anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad merancang memperoleh sebanyak 1,600 buah bas elektrik (EV) secara berperingkat dari 2026 hingga 2031 bagi menggantikan sebahagian besar bas sedia ada.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, insiatif itu adalah sebahagian pelan peralihan strategik jangka sederhana dan panjang Rapid Bus bagi menggantikan sebahagian besar bas sedia ada di seluruh negara.
”Sebanyak 250 unit bas EV akan diperoleh pada fasa pertama dengan penghantaran berperingkat bermula Mac tahun ini hingga Mac 2027.
”Fasa awal itu melibatkan 175 unit untuk Rapid KL dan 75 unit untuk Rapid Penang yang dijangka mula beroperasi di Pulau Pinang pada Mei 2026,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau operasi bas diesel Rapid Penang, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Menurut Anthony, inisiatif tersebut sejajar dengan usaha kerajaan memodenkan sistem pengangkutan awam negara serta mengurangkan pelepasan karbon, di samping menyokong aspirasi negeri ke arah pengangkutan yang lebih mesra alam. – KOSMO!ONLINE














