KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan Jumaat ini bagi sebutan kes Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette A. Samad berhubung pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Menerusi semakan laman web mahkamah, perbicaraan pada peringkat bela diri sepatutnya bermula hari ini sehingga Rabu, namun Hakim Rosli Ahmad menangguhkan prosiding pada 16 Januari ini bagi menetapkan tarikh bicara baharu selain membenarkan penangguhan yang dipohon pihak pembelaan.
Salah seorang peguam Bung Moktar, Ridha Abdah Subri ketika dihubungi media mengesahkan tarikh baharu itu.
Bung Moktar, 66, merupakan tertuduh utama dalam kes itu, manakala Zizie Izzete didakwa bersubahat. Zizie Izette kini menjalani tempoh idah selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu meninggal dunia pada 5 Disember lalu di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Terdahulu, perbicaraan peringkat bela diri sepatutnya didengar pada 27 November dan 3 Disember lalu, namun ditangguhkan berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November lalu.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 46, di sebuah bank Taman Melawati di sini pada 12 Jun 2015.
Pertuduhan ketiga, Bung Moktar dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan tunai RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama pada 17 Jun 2015.
Justeru mereka didakwa mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE














