KUALA LUMPUR – Jodoh tak panjang, rumah tangga pelakon Kamal Adli dan Uqasha Senrose akhirnya menemui noktah apabila pasangan selebriti itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, tadi.
Lafaz cerai dibuat Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Adli, 40, di hadapan Hakim Syarie Siti Noraini Mohd. Ali secara tertutup kira-kira pukul 12.56 tengah hari.
Prosiding tersebut berlangsung selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Uqasha mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Sebelum prosiding berlangsung, Kamal dilihat sudah bersedia menerima hakikat apabila menyifatkan proses hakam sebagai fasa terakhir hubungannya bersama Uqasha.
Difahamkan, kedua-dua pihak telah melalui pelbagai usaha perdamaian namun gagal mencapai kesepakatan, meskipun keinginan mempertahankan rumah tangga masih wujud pada peringkat awal.
Pada 18 Disember lalu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan menasihatkan Kamal supaya melafazkan cerai selepas Jawatankuasa Pendamai (JKP) gagal mencapai kata sepakat.
Bagaimanapun, peguam mewakili Uqasha, Muhammad Syazmee Sapian, memaklumkan lafaz cerai tidak dilaksanakan ketika itu kerana Kamal masih berharap rumah tangga dapat diselamatkan.
Untuk rekod, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, kini berusia setahun lapan bulan.
Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober tahun lalu atas alasan tiada persefahaman dan pergolakan rumah tangga berpanjangan, sekali gus mengakhiri kisah cinta pasangan popular itu di sisi syarak dan undang-undang. – KOSMO! ONLINE














