JAKARTA – Indonesia melaksanakan sekatan sementara terhadap ‘chatbot’ Grok ekoran risiko kandungan lucah janaan kepintaran buatan (AI), menjadikannya negara pertama menafikan akses kepada platform tersebut, lapor akhbar Independent semalam.
Langkah itu diambil selepas kerajaan dan pengawal selia dari Eropah hingga Asia mengecam platform tersebut, malah sesetengah pihak berkuasa telah membuka kertas siasatan terhadap kandungan seksual dalam aplikasi tersebut.
Syarikat pengendali Grok, xAI berkata, pihaknya mengehadkan penjanaan dan penyuntingan imej kepada pelanggan berbayar.
XAI ketika ini cuba membetulkan kelemahan perlindungan yang membenarkan pengeluaran berunsur seksual termasuk gambar kanak-kanak berpakaian mencolok mata.
“Kami melihat amalan ‘deepfake’ seksual tanpa persetujuan sebagai pelanggaran serius terhadap hak asasi manusia, maruah dan keselamatan rakyat dalam ruang digital,” kata Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia, Meutya Hafid dalam satu kenyataan.
Kementerian itu juga telah memanggil pegawai-pegawai daripada aplikasi X untuk membincangkan perkara tersebut.
Indonesia yang mempunyai populasi penduduk beragama Islam terbesar dunia, mempunyai peraturan ketat melarang perkongsian kandungan dianggap lucah secara online.
Sementara itu, bilionair dan pengasas xAI, Elon Musk berkata, individu yang menggunakan Grok untuk menghasilkan kandungan haram akan berdepan akibat sama seperti mereka memuat naik kandungan haram. – AGENSI














