KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pengarah sebuah syarikat perkayuan mengaut keuntungan lumayan daripada kerja sambilan secara dalam talian bukan sahaja tidak kesampaian malah dia pula yang kerugian lebih RM2.9 juta akibat diperdaya sindiket penipuan atau scammer.
Lelaki warga emas berusia 66 tahun tersebut yang menyedari tertipu telah membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 11.06 pagi, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, lelaki itu diperkenalkan perniagaan menerusi platform jualan dalam talian oleh kenalannya menerusi aplikasi WhatsApp pada bulan Mei tahun lalu.
“Peluang peniagaan itu kononnya menawarkan kadar keuntungan lumayan antara 10 hingga 25 peratus daripada modal perniagaan dilaburkan.
“Mangsa yang ketika itu berada di rumahnya di Tok Jembal, Kuala Nerus dekat sini telah tertarik lalu membuat pendaftaran pelaburan di pautan diberikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, pengarah syarikat tersebut kemudiannya mengeluarkan pelaburan besar berjumlah keseluruhan RM2,946,799.50 menggunakan wang simpanannya sendiri.
Beliau berkata, pelaburan berkenaan dilakukan menerusi beberapa transaksi ke 18 akaun bank berasingan antara 10 Jun hingga 7 November tahun lalu.
“Begitupun mangsa tidak boleh mengeluarkan modal dan keuntungannya sehingga hari ini. Barulah dia menyedari telah tertipu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














