fbpx
Mia Nasir selesa menjayakan karakter antagonis selagi selagi rezeki dilorongkan ke arah itu.

‘Ramai suami isteri curang di pejabat, saya sangat tak setuju’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK kebelakangan ini, watak penyondol atau orang ketiga antara yang paling mudah mencuri perhatian ramai dalam mana-mana drama mahupun filem.

Watak paling dibenci tetapi karakter tersebutlah yang akan menjadi sebutan ramai sehingga melonjakkan populariti pelakon dan sesebuah naskhah.

Jadi, tidak mustahil ramai pelakon seronok  menggalas peranan tersebut sekali gus memberi mereka peluang untuk meneroka watak penyondol dengan cara tersendiri.

Perkara tersebut turut diakui pelakon Mia Nasir yang sering ditawarkan karakter wanita dibenci dalam beberapa buah drama lakonannya sebelum ini, termasuk yang terbaharu, Pak Su Ammara.

Sedar perlu berdepan dengan kebencian penonton, Mia atau nama sebenarnya, Nur Farah Md. Nasir, 35, berkata, dia sentiasa berusaha memberi warna berbeza dalam setiap watak penyondol yang dipegang agar tidak kelihatan klise.

“Saya memang selalu bawa watak antagonis dan sudah biasa, ‘makanan’ saya.

“Kalau penonton benci, saya lagi suka sebab lakonan menjadi.

“Tapi walaupun orang kata karakter sama sahaja, saya sentiasa beri kelainan. Kadang-kadang saya jadi antagonis yang comel-comel tapi sebenarnya jahat dan ada penonton suka,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Tambah Mia, berbanding watak protagonis, karakter antagonis lebih memberinya banyak peluang untuk menyerlahkan sisi lakonan berbeza.

“Saya pernah jadi perempuan baik dan jahat tetapi lebih selesa dengan antagonis sebab boleh mengolah karakter dengan pelbagai cara. 

“Untuk jadi antagonis, saya banyak ambil inspirasi yang dari laporan berita dan filem. Saya selalu cuba nak bawa cara kejahatan yang berbeza tapi menarik perhatian penonton,” katanya lagi.

Ramai curang

Kongsinya, lambakan cerita kecurangan dan gangguan orang ketiga dalam media sosial sejak akhir-akhir ini juga banyak memberi inspirasi dalam membentuk sesebuah karakter.

“Selalu kita dengar cerita tentang isu curang dalam media sosial, rasa geram.

“Jadi, saya tidak berlakon ‘kosong’ tetapi mahu bagi kesedaran juga pada orang ramai.

“Seperti hangat isu curang di pejabat sehingga ada gelaran ‘office husband and wife’. Saya sangat tak setuju dengan perkara itu, jadi saya luahkan perasaan  tersebut dalam karakter,” tuturnya.

Ditanya lanjut mengenai keseronokan kerap memegang karakter antagonis, adik kepada pelakon Anzalna Nasir itu berkata, karakter tersebut tidak pernah membuatkan dia dan penonton bosan.

“Bila jadi jahat, saya dapat jadi orang lain. Saya ada karakter sendiri tetapi antagonis beri peluang cuba macam-macam jenis watak lain.

“Kalau lari sikit daripada karakter pun orang takkan perasan sebab antagonis ini psiko, suka hati mereka. Hari ini baik tetapi esok tiba-tiba jadi jahat.

“Perangai mereka memang ‘bipolar’. Orang yang ada perasaan dengki dan jahat ini memang pandai berlakon pun,” ujar bintang drama Andai Tiada Dia itu.

Pak Su Ammara

Bercerita mengenai drama Pak Su Ammara yang kini hangat ditayangkan menerusi Astro Ria, Mia menerima tawaran sebagai watak Wardah disebabkan kelainan karakter antagonisnya berbanding lakonan terdahulu.

“Karakter ini macam lain sikit. Dia tak mengaku yang dia menyondol tapi tak kisah jadi isteri kedua Wafiy (Syazwan Zulkifly).

“Watak kali ini agak serius sikit sebab bagi dua ‘vibes’ yang berbeza, nakal dan ada sisi baik,” jelasnya.

Mia menambah, bekerja di samping Ummi Nazeera, Syazwan dan Que Haidar adalah pengalaman yang menarik.

“Kehebatan lakonan mereka memang kita semua tak boleh nak nafikan, ‘power’.

“Tapi saya juga sehabis baik untuk beri hasil yang bagus, insya-Allah penonton akan suka,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Mia juga berharap kerjaya lakonan dan kehidupan peribadinya akan memasuki fasa lebih baik pada tahun 2026.

“Harap ini saya dapat peluang terlibat dengan mana-mana filem dan kalau boleh nak ‘all out’ dalam lakonan.

“Saya juga nak seimbangkan kehidupan peribadi dan karier, kalau boleh nak ‘be with someone’ (jumpa lelaki tepat) cuma itulah, jodoh di tangan Tuhan,” jelasnya yang mengelak daripada berkawan dengan suami orang.

Dia bagaimanapun bersyukur keluarga tidak pernah memberi sebarang tekanan berkaitan calon suami atau perancangan mendirikan rumah tangga.

“Syukur keluarga tidak pernah paksa (kahwin). Mereka pun tak berani nak carikan calon sebab saya ada cita rasa sendiri. 

“Tentang cinta, memang tak nak bagi harapan pada keluarga lagi macam hubungan lapan tahun yang saya jalani dulu. 

“Insya-Allah 2026 akan jadi tahun yang lebih baik untuk saya dan semua orang juga,” kongsinya.

 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN