fbpx
KHIDMAT Seu Bock (dua dari kiri) ditagih skuad perseorangan lelaki senior bagi menaikkan semula prestasi pemain-pemain negara.

Seu Bock sah kembali ke skuad senior

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jurulatih berpengalaman negara, Datuk Tey Seu Bock kembali ke skuad senior sebagai jurulatih perseorangan lelaki dalam penstrukturan semula barisan kejurulatihan yang dibuat Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei yang mengakui badan induk berkenaan bakal membawa masuk lima hingga enam jurulatih baharu dalam masa terdekat.

Chong Wei berkata, pelantikan Seu Bock sebagai jurulatih perseorangan lelaki senior dicadangkan sendiri Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen bagi membantunya.

“Orang nampak Seu Bock ada dalam kejohanan (Terbuka Malaysia) kali ini dan perkara ini tidak boleh disembunyikan lagi. Saya boleh sahkan bahawa beliau akan naik (pangkat) ke pasukan senior.

“Perkara ini sudah dibincangkan bersama Pengarah Kejurulatihan Perseorangan (Jonassen). Beliau mahu Seu Bock masuk semula ke pasukan kebangsaan untuk bantu beliau dan beberapa jurulatih lain,” katanya ketika ditemui di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

CHONG WEI

Sebagai rekod, Seu Bock boleh dianggap sebagai watak penting yang pernah membantu Chong Wei memenangi tiga pingat perak Sukan Olimpik pada edisi 2008 di Beijing, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Seu Bock menyertai badan induk itu sejak 2002 di mana beliau bermula sebagai pembantu kepada Datuk Misbun Sidek sebelum mengambil alih peranan sebagai jurulatih tetap Chong Wei pada awal 2011.

“Saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Prestasi sudah meluluskan dan Seu Bock akan naik semula (ke pasukan senior). Kami perlu susun semula barisan kejurulatihan dan akan diumumkan dalam masa terdekat,” ujar Chong Wei.

Sementara itu, beliau menjelaskan, lima atau enam jurulatih baharu yang akan dibawa masuk nanti terdiri daripada jurulatih tempatan dan luar negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN