PETALING JAYA – Setiap individu dan golongan terlibat dalam program maksiat seperti Glamping With Pride perlu dikenakan tindakan tegas dan hukuman berat setimpal dengan kejelekan maksiat yang dilakukan.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, jika ada dalam kalangan yang terlibat ingin bertaubat dan menyesal atas perbuatan tersebut, pintu taubat sentiasa terbuka bagi mereka yang ingin kembali kepada fitrah.
Menurutnya, dalam masa sama pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menasihati penganjur agar membatalkan atau menghentikan sebarang aktiviti yang mempunyai unsur promosi budaya songsang.
“Berbanding penganjuran program sedemikian, umat Islam dan seluruh masyarakat di negara ini sewajarnya didedahkan dengan aktiviti rekreasi yang mampu mendekatkan diri kepada Allah SWT sebagai pencipta alam semesta melalui penghayatan terhadap keindahan alam demi meningkatkan keimanan.
“Aktiviti tersebut juga perlulah berupaya mengeratkan ukhuwah sihat dengan membina hubungan kemasyarakatan yang bersih daripada sebarang unsur maksiat, sekali gus berfungsi sebagai wadah untuk memelihara jati diri serta menjadi benteng ampuh daripada pengaruh budaya luar yang merosakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Tinta Mufti Wilayah Persekutuan pada laman web rasmi Mufti Wilayah mengulas program Glamping With Pride dijadualkan pada 17 dan 18 Januari depan di Hulu Langat, Selangor.
Ahmad Fauwaz menegaskan, agama Islam amat mementingkan aspek kesucian akhlak dan keutuhan sistem kekeluargaan yang dibina atas fitrah kejadian lelaki dan wanita.
Katanya, justeru penggunaan istilah ‘pride’ yang secara global dikaitkan dengan gerakan LGBTQ+ (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender) adalah satu usaha normalisasi terhadap perbuatan yang jelas diharamkan oleh Allah SWT.
“Penganjuran program dengan cuba menyuntik elemen-elemen ini biarpun dikaburi aktiviti rekreasi yang kelihatan normal seperti glamping, jelas dilarang kerana ia merupakan satu bentuk mempromosikan perbuatan maksiat dan dosa secara terbuka.
“Lebih-lebih lagi di negara Malaysia yang meletakkan agama Islam berada pada kedudukan istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, dalam konteks sebuah negara berdaulat, setiap penganjuran program awam mestilah menghormati sensitiviti agama, undang-undang dan norma budaya tempatan.
“Pihak berkuasa dan pemilik premis rekreasi perlu lebih peka dan bertegas dalam menapis sebarang aktiviti yang cuba menormalisasikan budaya bertentangan dengan enakmen jenayah syariah sedia ada.
“Masyarakat juga diseru agar tidak memberikan sebarang sokongan atau pengiktirafan terhadap program-program yang mempunyai agenda tersembunyi untuk merosakkan akidah dan akhlak anak muda kita.
“Sikap berdiam diri terhadap kemungkaran yang dipromosikan secara terang-terangan dikhuatiri akan mengundang bala yang menyeluruh,” katanya. – KOSMO! ONLINE














