fbpx
Selepas kejayaan Siti Nurhaliza: Fantasia Tour pada 2004 yang mengumpul lebih 70,000 peminat, Siti sekali lagi mencipta kejayaan menerusi Legacy 30 Siti Nurhaliza: Passion, Sincere and Love yang dibanjiri 65,000 penonton di SNBJ.

Siti, artis pertama ada dua konsert lebih 65,000 penonton di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi mencipta sejarah manis dalam karier seninya apabila berjaya mengumpulkan lebih 65,000 peminat di lokasi ikonik, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menerusi penganjuran konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza: Passion, Sincere and Love. 

Merupakan konsert ke-35 sepanjang karier sejak debut tahun 1996, Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin, 47, membuktikan aura dan xstatusnya sebagai penyanyi nombor satu tanah air kekal unggul dan tiada tolak banding. 

Pada konsert anjuran SN Legacy Sdn. Bhd. itu, Siti mendendangkan 42 buah lagu popularnya yang dibahagikan kepada beberapa segmen termasuk tradisional sekali gus menyaksikan selautan manusia berjoget lambak memeriahkan atmosfera SNBJ yang merupakan Stadium terbesar di Asia Tenggara. 

“Kalau ikut adat orang dahulu, apabila ada keraian dan keramaian, orang-orang akan berjoget lambak. Saya ajak semua yang hadir di sini untuk bangun dan joget lambak, boleh? Kita jadikan ini joget lambak terbesar.

“Silap-silap boleh masuk Malaysia Book of Records (MBOR),” selorohnya di hadapan ribuan peminat.

Untuk rekod, konsert paling ramai bilangan penonton di Malaysia masih dipegang Coldplay menerusi Coldplay: Music of the Spheres dengan lebih 81,000 penonton. 

Bagaimanapun, dengan penganjuran Legacy 30 Siti Nurhaliza menjadikan penyanyi lagu Cindai itu satu-satunya penghibur memiliki dua konsert dihadiri lebih 65,000 di Malaysia selepas mencipta rekod terdahulu, Siti Nurhaliza: Fantasia Tour pada 2004 (70,000 penonton). 

Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza menyaksikan penyanyi kesayangan ramai itu mendendangkan untaian lagu irama tradisional popular. Antaranya, Joget Menanti Kasih, Balqis, Ya Maulai serta Pandang Pandang Jeling Jeling.

Siti turut mendedikasikan lagu Cindai sebagai tanda mengenang jasa insan yang banyak berjaya terhadap perjalanan kerjayanya iaitu, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah. 

Tidak berseorangan, Siti turut mengundang anak saudaranya, Umairah, Hafiz Suip, Noh Salleh dan Cakra Khan untuk menyanyi bersama selain Auddra atau Odah yang menjadi penari latar pada awal kemunculan. 

Siti juga memaklumkan, pihaknya menyumbang RM1 juta dari jualan tiket untuk Yayasan Nurjiwa. 

Sebaik konsert melabuhkan tirai, Siti diberi kejutan sambutan hari jadi yang ke-47, yang jatuh hari ini (11 Januari). Ribuan peminat memberi hadiah istimewa iaitu nyanyian lagu hari jadi kepada Siti.

Konsert yang berlangsung lebih tiga jam itu dihoskan Muaz Mohamed. Antara rakan artis yang hadir memberi sokongan adalah Datuk Syafinaz Selamat, Ella, Rozita Che Wan, Aina Abdul, Awal Ashaari, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Wany Hasrita dan Aisha Retno. 

Top 5 konsert paling ramai penonton di Malaysia (SNBJ): 
  1. Coldplay: Music of the Spheres - 2023 (81,000 orang)
  2. Siti Nurhaliza: Fantasia Tour - 2004 (70,000 orang)
  3. A. R. Rahman Secret of Success - 2023 (67,000 orang)
  4. Siti Nurhaliza: Legacy 30 - 2026 (65,000 orang)
  5. Blackpink: Born Pink Tour (62,000 orang) 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI