SHAH ALAM – Tindakan seorang lelaki melintas jalan secara tiba-tiba mengundang padah apabila maut dilanggar dalam kejadian di Kilometer (KM) 9.4 Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), malam tadi.
Kejadian pukul 11.15 malam itu menyebabkan mangsa berlingkungan umur antara 50 hingga 60 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Kemalangan berkenaan turut tular di media sosial menerusi video berdurasi 20 saat dari kamera papan pemuka sebuah kenderaan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku apabila mangsa tiba-tiba melintas jalan dan berada di tengah lorong kedua selepas susur keluar Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah Klang ke Damansara.
Katanya, mangsa kemudiannya dilanggar sebuah kereta yang bergerak terus di laluan itu.
“Mangsa merupakan pejalan kaki itu maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala. Kita dalam usaha mengenal pasti identiti mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354 bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














