fbpx
Adzli (tiga dari kiri) menyampaikan poster berkaitan buli kepada wakil sekolah pada Majlis Pembukaan Sesi Persekolahan 2026 Jabatan Pendidikan Kedah bersama PDRM di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar hari ini.

Kes buli pelajar sekolah di Kedah naik 330 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Polis Kedah merekodkan peningkatan sehingga 330 peratus kes buli di sekolah dengan 43 kes dilaporkan pada 2025 berbanding hanya 10 kes pada tahun sebelumnya.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 32 kes dilaporkan di sekolah menengah, sembilan kes di sekolah rendah dan dua kes di sekolah persendirian.

“Seramai 31 pelaku ditahan, manakala 11 daripada mereka dituduh di mahkamah. Peningkatan kes ini tidak semestinya bermaksud peningkatan kejadian semata-mata, sebaliknya menunjukkan tahap kesedaran mangsa dan masyarakat untuk tampil melaporkan buli yang sebelum ini sering didiamkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pembukaan Sesi Persekolahan 2026 Jabatan Pendidikan Kedah bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kolej Sultan Abdul Hamid, di sini hari ini.

Adzli turut menyentuh kes buli di Sungai Petani pada Julai tahun lalu melibatkan dua pelajar perempuan tingkatan satu yang didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, katanya, isu jenayah seksual terhadap murid sekolah turut mencetuskan kebimbangan apabila sebanyak 90 kes rogol direkodkan di Kedah sepanjang 2025, melibatkan mangsa bawah umur.

“Sebanyal 78 kes melibatkan murid sekolah menengah, manakala 12 kes di sekolah rendah. Berdasarkan siasatan Unit D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, kebanyakan kes rogol melibatkan murid sekolah berkait rapat dengan masalah sosial dan keruntuhan moral.

“Ia termasuk pergaulan bebas tanpa pengawasan, kepercayaan yang disalahgunakan dan kecuaian dalam menjaga batas pergaulan,” ujarnya.

Beliau menyeru golongan pelajar agar berani bersuara dan tampil melaporkan sebarang bentuk gangguan, ugutan atau perlakuan mencurigakan kepada guru, ibu bapa atau Pegawai Perhubungan Sekolah bagi membolehkan tindakan awal diambil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI