fbpx
Zainal (kanan) beramah mesra dengan sebahagian murid tahun satu pada hari pertama persekolahan di SK Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu hari ini.

‘Hari ini, esok sekolah boleh agih BAP RM150 kepada semua’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan pengagihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada kira-kira 5.2 juta murid dan pelajar sekolah seluruh negara akan selesai sepenuhnya selewat-lewatnya minggu depan.

Timbalan Ketua Pengarah KPM (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas berkata, wang BAP sudah dimasukkan ke dalam akaun bank semua sekolah seluruh negara pada hari ini.

“Hari ini, esok, sekolah sudah boleh mengagihkan BAP sebanyak RM150 seorang kepada semua murid dan pelajar.

“Kita harap hujung minggu ini sudah selesai namun jangka ia dapat selesai diagihkan selewat-lewatnya minggu depan,” katanya ketika meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Tok Nasek, di sini hari ini.

Seramai 22,213 murid tahun satu dan prasekolah (9,528 orang) memulakan persekolahan di 352 sekolah rendah di seluruh Terengganu.

Zainal berkata, KPM memberi kepercayaan kepada pengurusan sekolah untuk mengatur pengagihan BAP tersebut kepada ibu bapa murid dan pelajar terlibat.

Beliau berkata, pemberian BAP sebanyak RM150 seorang turut melibatkan bakal pelajar tingkatan enam rendah yang akan memulakan pelajaran selepas keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Zainal berkata, KPM juga telah mengambil inisiatif menyusun jadual waktu persekolahan bagi mengelak isu beg berat dalam kalangan murid dan pelajar terus berlarutan.

Beliau berkata, jadual waktu kelas harian tersebut kini telah disusun dengan melibatkan tiga atau empat mata pelajaran sahaja setiap hari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI