fbpx
Bomba sedang giat mengeluarkan seorang lagi mangsa dari bas ekspres yang bertembung dengan lori di KM 1.0 Lebuh Raya Utara - Selatan dari Ipoh menghala ke Rawang.

42 penumpang cemas bas ekspres bertembung lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU SELANGOR – Seramai 42 penumpang bas ekspres mengalami detik cemas selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung lori tiga tan di KM 1.0 Lebuh Raya Utara-Selatan dari Ipoh menghala ke Rawang, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, setakat pukul 6.33 pagi tadi, seramai 38 mangsa berjaya keluar, manakala empat lagi tersepit.

“Bagaimanapun, yang terkini tiga mangsa di dalam bas berjaya dikeluarkan manakala satu mangsa lagi masih tersepit. Kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, pada awal kejadian, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.24 pagi sebelum menggerakkan seramai lapan anggota beserta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang.

Ujarnya, setibanya di lokasi, terdapat lima mangsa tersepit termasuk seorang pemandu lori sebelum kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan.

Sementara itu, menurut hantaran Lembaga Lebuh Raya, kemalangan itu menyebabkan semua lorong terhalang.

“Semua lorong arah selatan dan lorong kanan arah utara terhalang. Trafik tidak bergerak 5 kilometer. Gunakan laluan alternatif,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI