fbpx
Michael Chong (dua dari kanan) bersama pempengaruh dan wakil kedua-dua peguam di Wisma MCA, Kuala Lumpur hari ini.

Tiada unsur penipuan, masih dalam proses undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Siasatan polis mendapati tiada unsur penipuan atau niat tidak jujur dikenal pasti dalam pertikaian komersial yang melibatkan seorang pempengaruh media sosial.

Ketua Biro Aduan Awam dan Perkhidmatan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, hasil dapatan itu dimaklumkan kepada pihaknya selepas wakil guaman pempengaruh berkenaan membentangkan hasil siasatan pihak polis dalam satu pertemuan yang diadakan baru-baru ini.

Beliau berkata, pertemuan tersebut turut disertai wakil perundangan Biro Aduan Awam dan Perkhidmatan MCA, pempengaruh terbabit serta wakil guamannya, susulan kenyataan terdahulu berkaitan kes berkenaan.

“Dalam pertemuan itu, wakil guaman pihak pengadu dan wakil guaman pempengaruh telah mencapai satu persefahaman awal berhubung beberapa perkara, selain menyatakan hasrat bersama untuk menyelesaikan isu ini secara baik melalui saluran undang-undang dan pendekatan konstruktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Michael Chong berkata, perbincangan lanjut masih berjalan dan semua isu substantif berkaitan pertikaian tersebut akan terus dikendalikan oleh peguam masing-masing selaras dengan proses undang-undang.

Katanya, pempengaruh berkenaan telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan dan setakat ini, tiada elemen jenayah dapat dibuktikan berdasarkan dapatan pihak berkuasa.

Menurut beliau, Biro Aduan Awam dan Perkhidmatan MCA kekal mengambil pendirian berkecuali serta tidak memihak kepada mana-mana pihak, selain tidak berperanan sebagai badan penghakiman atau penguatkuasaan.

“Peranan kami adalah untuk memantau perkembangan dan memudah cara komunikasi selaras dengan fungsi perkhidmatan awam, bagi memastikan perkara ini ditangani secara sah, adil dan telus,” ujarnya.

Susulan itu, beliau menggesa orang ramai serta pengguna media sosial supaya tidak membuat spekulasi, serangan peribadi atau terlibat dalam buli siber, sebaliknya menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Orang ramai perlu bersikap rasional dan berhemah dalam setiap perbincangan di ruang siber. Biro ini akan terus berkhidmat kepada masyarakat dan memberikan bantuan sewajarnya selaras dengan peranan kami,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan lebih 80 individu dipercayai menanggung kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah jutaan ringgit selepas mendakwa diperdaya oleh seorang individu aktif di media sosial yang menawarkan aksesori perhiasan wanita kononnya mempunyai elemen ‘tuah’ dan feng shui menguntungkan.

Individu berkenaan juga dilaporkan meminta bayaran deposit sebelum pembeli dibenarkan berhubung secara peribadi bagi membuat tempahan serta memilih rekaan kalung berlian atau jed yang didakwa mempunyai nilai keberuntungan tertentu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI