GEORGE TOWN – Penggemar duri hitam (black thorn) atau lebih dikenali sebagai orchee ‘Seberang’ kali ini boleh menikmati raja buah itu pada harga serendah RM15 hingga RM25 sekilogram berbanding durian sama dari dusun di Balik Pulau dan Sungai Ara.
Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Tan, 53, mendakwa, pengeluaran duri hitam dari dusun yang terletak di kawasan Junjong di Bukit Mertajam dan Jawi di Nibong Tebal meningkat pada musim kedua, bermula November tahun lalu dan akan berakhir pada hujung bulan ini.
Menurutnya, pertumbuhan buah itu dikatakan melibatkan pokok-pokok duri hitam baharu dan lama berbanding durian sama pada pokok berusia dari 10 hingga 15 tahun di Barat Daya.
“Duri hitam gred C Seberang kali ini paling murah iaitu dijual antara RM15 hingga RM25 sekilogram berbanding duri hitam Balik Pulau dan Sungai Ara bagi gred sama kini dipasarkan pada harga RM35 hingga RM40 sekilo.
“Berlaku lambakan durian duri hitam Seberang termasuk dari Pahang bagi gred C ketika ini. Bagi duri hitam Penang, bukan semua dusun di Balik Pulau dan Sungai Ara ada buah duri hitam.
“Memang ada pokok tapi buahnya masih kecil dan perlu menunggu tempoh gugur yang dijangka pada musim pertama Mei nanti. Kali ini, stok duri hitam Penang tidak banyak yang luruh, sehari mungkin sebiji atau dua biji sahaja,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Ujarnya, harga duri hitam Pulau bagi gred A kini dijual pada harga RM55 hingga RM68 sekilo, musang king Balik Pulau pula RM53 hingga 58 sekilo, manakala kun poh dan sio hong masing-masing dijual RM38 sekilo.
Katanya, tahun lalu, durian duri hitam Penang bagi gred C dijual RM30 hingga RM35 sekilo.
Pada Selasa lalu, Kosmo! melaporkan, harga duri hitam menurun apabila buah premium itu dijual RM25 sekilogram.
Pengerusi Persatuan Pekebun Kecil Sungai Ara yang juga peniaga durian, Soong Joon Sin berkata, durian Penang masih tidak dapat ditandingi dan kekal mendapat tempat di hati penggemar terutama dari luar negara.
“Meskipun berlaku lambakan durian premium dari luar Pulau (Pulau Pinang) tetapi kaki durian masih mahu menunggu tibanya musim pertama keluaran dari dusun di daerah ini pada Mei nanti.
“Biasanya, pelancong terutama dari China akan mengambil peluang bercuti ke Pulau Pinang setiap kali musim durian semata-mata mahu menikmati buah keluaran dari dusun daerah ini,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE














