PETALING JAYA – Biarpun lebih sebulan banjir besar melanda Aceh, keadaan di rumah penduduk banyak yang tidak berubah apabila masih dipenuhi lumpur tebal.
Sukarelawan Malaysia, Nur Zata Hananin Saarani sewaktu melakukan misi di daerah Aceh Tamiang berkata, malah ada penduduk masih tinggal di dalam khemah memandangkan rumah mereka tidak boleh didiami selain hanyut dibawa air banjir.
“Jika dibandingkan dengan pascabanjir di Malaysia, penduduk sudah pulang dan bersihkan rumah. Sebaliknya di Aceh Tamiang, rumah pun belum dibersihkan walaupun dah sebulan lebih bencana berlaku.
“Ada yang kosong, tidak tahu penghuni ke mana, hidup atau sudah meninggal. Rumah-rumah masih lagi berlumpur tinggi,” katanya kepada Kosmo!.
Nur Zata Hananin yang juga kaunselor berdaftar berkata, sepanjang misi kemanusian disertainya bermula 31 Disember hingga 3 Januari lalu, antara cerita diingatinya ialah tindakan seorang bapa sanggup berenang tiga hingga empat hari untuk mengambil anak di sebuah pusat tahfiz (pesantren).
“Bapa ini dari Kampung Batang Ara, manakala anaknya di pesantren di Kuala Simpang yang mengambil masa beberapa jam memandu. Tetapi disebabkan banjir dan semua jalan dinaiki air, ayah ini tak ada pilihan berenang melawan arus sampai ke Kuala Simpang ambil masa tiga atau empat hari.
“Dia berenang berhenti di setiap pokok dan sambung semula sampailah ke Kuala Simpang untuk berjumpa anaknya. Memandangkan pesantren itu juga dinaiki air dan guru mereka perlu meminta ibu bapa mengambil anak, barulah boleh dibenarkan pulang,” katanya.

Nur Zata Hananin berkata, dia tidak lupa apabila terhidu bau bercampur antara lumpur dan bangkai sepanjang menaiki kereta untuk ke Kampung Batang Ara bagi menjalankan misi tersebut.
“Sewaktu buka tingkap, ada bau macam-macam bercampur antara lumpur banjir dan bangkai ternakan penduduk. Mungkin ternakan seperti ayam, itik ditinggalkan oleh penduduk sewaktu banjir tidak dapat diselamatkan,” katanya.
Katanya, dia bersama pasukan sukarelawan juga terjumpa ibu tunggal yang dinafikan hak untuk mendapatkan bantuan apabila disangka sebagai orang senang.
“Ada dua wanita naik motosikal datang bertemu kami meminta lampin pakai buang. Dia berterima kasih sebab tak ada orang percaya mereka mangsa. Rumah elok (dari luar), tapi sebenarnya di dalam musnah habis.
“Dia tak ada pendapatan, tapi orang tak percaya dia mangsa. Apabila kami berikan bantuan, dia kata akhirnya doanya terjawab dengan pertolongan itu,” katanya.














