KUALA LUMPUR – Tiada usul mengenai cadangan untuk UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan dikemukakan perwakilan untuk dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 minggu hadapan.
Memaklumkan perkara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, daripada 662 usul dikemukakan, usul paling tinggi yang dibawa perwakilan adalah berkenaan isu keadilan dan pengampunan penuh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jelasnya, sebanyak 104 usul berkenaan isu pengampunan Najib diterima dan akan dibahaskan pada PAU.
“Secara rasmi 662 usul yang dihantar kepada ibu pejabat tidak ada satu pun yang membawakan usul untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan yang mana UMNO antara parti yang utama membentuk kerajaan ini.
“Tetapi seperti biasa kita tidak pernah boleh menghalang untuk jurucakap daripada negeri seperti mana tradisi.Jadi mungkin akan ditimbulkan, akan dicetuskan.
“Tetapi bagi kami di peringkat Ibu Pejabat UMNO kita tidak pernah menghalang apa juga sebab ini adalah medan yang seharusnya digunakan sepenuhnya oleh kepimpinan dan warga parti,”katanya pada sidang akhbar sempena PAU 2025 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, selain usul pengampunan, pihaknya turut menerima cadangan supaya kerajaan memperluaskan dan melaksanakan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Katanya, 56 bahagian mahu TVET dilaksanakan secara menyeluruh kepada golongan muda dengan menambahkan lagi kolej-kolej komuniti dan juga memperluaskan kurikulum TVET.
Untuk makluman PAU 2025 akan membuka tirainya pada 14 Januari dan berlangsung selama empat hari di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Seramai 6,412 orang perwakilan sudah mendaftar termasuk PAU 2,928 oramg Perhimpunan Agung Wanita UMNO 1,165, Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 1,173 dan Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO 1,146 orang.-KOSMO! ONLINE














