KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 set peranti e-braille diserahkan kepada guru-guru Al-Quran orang kurang upaya (OKU) penglihatan dalam usaha memperkasakan pendidikan Al-Quran secara inklusif.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, peranti berkenaan merupakan hasil inovasi anak tempatan yang bukan sahaja lebih ringan, malah menawarkan fungsi yang jauh lebih menyeluruh berbanding Al-Quran braille konvensional.
“Jika sebelum ini guru-guru terpaksa menggunakan al-Quran Braille seberat hampir 10 kilogram dengan enam jilid, kini mereka hanya memerlukan satu peranti e-braille yang beratnya tidak sampai satu kilogram,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan peranti Ebrelle kepada guru al-Quran OKU penglihatan di Kingston 10 Unicorn Hotel, di sini hari ini.
Zulkifli berkata, penggunaan peranti digital itu dijangka memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran Al-Quran, sekali gus membuka akses ilmu agama yang lebih luas kepada golongan OKU penglihatan.
“Bagi menjayakan inisiatif ini, sebanyak RM90,000.00 telah diperuntukkan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sebagai menyahut seruan Perdana Menteri agar agensi kerajaan memanfaatkan teknologi sepenuhnya dalam menyantuni rakyat,” ujarnya.
Tambahnya, sebahagian peranti berkenaan akan ditempatkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi) dan Masjid Jamek, Kuala Lumpur, bagi membolehkan lebih ramai guru dan komuniti OKU mengikuti kelas serta latihan berkaitan.
Program berkenaan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan pendekatan inklusif dan menyeluruh dalam menyantuni semua lapisan masyarakat, khususnya dalam bidang pendidikan dan dakwah Islam. – KOSMO! ONLINE














