PONTIAN – Golongan ibu bapa yang memerlukan perbelanjaan tinggi terutama mereka yang memiliki anak ramai tidak mempunyai pilihan lain kecuali menjual dan menggadai barangan kemas bagi mendapatkan wang untuk persiapan persekolah anak-anak pada minggu hadapan.
Pemilik kedai emas Wanie Cantik, Syazwani Omar, 33, berkata, sejak tahun lalu, premisnya dikunjungi pelanggan yang mahu menjual emas termasuk untuk persiapan sekolah anak.
“Walaupun sayang hendak dijual, tetapi demi anak-anak mereka sanggup lepaskan. Yang penting anak-anak dapat ke sekolah dengan memakai pakaian, kasut dan beg baharu,” katanya ketika ditemui.
Menurut Syazwani, kebanyakan barang kemas yang dilepaskan ialah rantai dan gelang seberat 2 gram (g) hingga 30gram.
“Selain persiapan sekolah, ada juga yang jual emas untuk menambah modal berniaga, rawatan dialisis dan persiapan raya pada Mac ini,” katanya.
Sementara itu, pekerja kedai emas di Pusat Perdagangan Pontian dikenali sebagai Farah memberitahu, pihaknya turut menerima emas daripada pelanggan yang mahu menjualnya kerana memerlukan wang segera untuk persiapan persekolahan anak-anak.
“Barangan kemas yang dijual akan ditolak harga susut nilai, namun pemiliknya masih mendapat keuntungan tinggi berdasarkan harga emas semasa. Sekurang-kurangnya mereka dapat bawa pulang RM4,000 hingga RM5,000 bagi rantai dan gelang yang dijual. Setakat ini kami tidak menerima cincin,” katanya.
Di Ipoh, situasi sama berlaku apabila ibu bapa memerlukan wang untuk menampung yuran sekolah dan sekolah rendah agama anak masing-masing.
Seorang ibu dari Chemor, Nur Suhaila Ibrahim, 42, berkata, dia tidak mempunyai pilihan selain menjual emas kerana pendapatannya dan suami hanya RM2,500 sebulan untuk menyara empat anak.
“Purata seorang anak sekolah rendah sekitar RM100 hingga RM130. Kalau beli pakaian sukan, kosnya boleh cecah RM150. Itu tidak termasuk sekolah agama. Harga emas sekarang tinggi jadi kami dapat sedikit untung.
Seorang lagi wanita, Rahimah Abd. Razak, 46, berkata, dia menggadai gelang emas yang bernilai RM7,000 dan wang itu digunakan untuk membayar yuran sekolah agama dan sekolah harian tiga anaknya.
“Bakinya saya akan simpan untuk tebus semula barang kemas setelah simpanan mencukupi,” katanya.
Katanya, biasanya dia menunggu sehingga dua bulan sebelum menebus kembali kerana pendapatannya sebagai bidan dan tukang urut bergantung kepada permintaan pelanggan.
Pemilik Kedai Emas Haifa, Iqtiyani Ulfa Mohd. Azamee, 44, berkata, ada segelintir ibu bapa yang menunggu kenaikan harga emas semasa sebelum menjual perhiasan dan jongkong untuk membayar yuran dan membeli barangan keperluan sekolah anak-anak.
“Kadar yuran, buku tulis, pakaian seragam dan pakaian sukan mencecah ratusan ringgit. Jualan barang kemas dan jongkong emas banyak membantu mereka. Ada juga ambil kesempatan menjual yang lama dan membeli yang baharu kerana kadar keuntungan tinggi,” katanya.
Katanya, kebanyakan ibu bapa yang mengunjungi premisnya melakukan persediaan awal dengan membeli perhiasan dan jongkong emas untuk pendidikan anak-anak sehingga universiti.
“Trend itu sudah lama. Setiap anak ada simpanan emas untuk pendidikan masa depan. Bahkan, ada simpanan emas untuk belanja kenduri anak-anak kerana margin keuntungan yang tinggi berbanding mekanisme pelaburan lain,” katanya.














