KUALA LUMPUR – Selepas tiga hari berlangsung, perbicaraan kes saman bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir terhadap Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selesai.
Hakim Roslan Mat Nor menutup perbicaraan itu selepas Aliff Syukri selaku defendan selesai memberi keterangan termasuk disoal balas peguam pihak plaintif selain Abdul Kadir memberi keterangan selama dua hari bermula Selasa lalu.
Mahkamah menetapkan 9 dan 30 Mac depan bagi pemfailan hujahan dan hujahan balas serta 29 April bagi hujahan lisan kedua-dua belah pihak sebelum keputusan dibuat.
Dalam prosiding sama, Hakim Roslan turut menasihati peguam kedua-dua pihak supaya tidak membincangkan perbicaraan kes ini di mana-mana media sosial sehingga kes diputuskan kelak.
“Ini kerana mahkamah memutuskan kes ini berdasarkan keterangan yang ada dan bukan fakta-fakta lain,” kata Hakim Roslan.
Abdul Kadir diwakili peguam Ravichandaran Selliah, manakala Aliff Syukri yang merupakan ahli perniagaan diwakili peguam Zulfahmi Abu Bakar.
Abdul Kadir, 86, memfailkan saman pada 6 September 2023 dengan mendakwa Aliff Syukri, 39, yang terlibat dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut ramai di media sosial mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya di Instagram dan Facebook pada 2 Julai 2023.
Plaintif mendakwa kenyataan itu membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan berjuta ringgit selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan itu mengundang komen negatif daripada pembaca.
Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah selain perintah supaya defendan memberikan aku janji bertulis untuk tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di media sosial defendan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah ini.
Sementara itu, Aliff Syukri pula menerusi pernyataan pembelaannya mendakwa beliau membuat bayaran pelaburan RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usahasama bertarikh 26 November 2018 yang melibatkan plaintif, defendan serta dua syarikat.
Dakwanya, pihak-pihak di dalam perjanjian usahasama gagal membuat pembayaran wang yang telah dilaburkan selain segala pelanggaran janji sedemikian termasuklah aku janji yang diberikan plaintif kepadanya adalah di dalam pengetahuan plaintif sendiri. – KOSMO! ONLINE














