fbpx
MUHAMMAD HAZIQ dijatuhi hukuman penjara 18 bulan selepas mengaku salah memecah masuk NADI dan menghapuskan barang curi oleh Mahkamah Majistret Pontian hari ini. Foto oleh MUHAMMAD ZIKRI / KOSMO!

Pemandu lori ais dijel 18 bulan pecah masuk NADI, lupus barang curi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Seorang pemandu lori ais dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah atas lima pertuduhan termasuk memecah masuk Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan menghapuskan barang curi, tahun lalu.

Majistret Nurhafiza Haron menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Muhammad Haziq Elvy Rimow, 43, sejurus pendakwaan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menceroboh tiga buah NADI, iaitu NADI Taman Nilam, NADI di Balai Raya Bandar Permas, Kukup dan NADI di Batu 1, Sungai Pinggan, Benut.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 15 Mei hingga 25 Disember tahun lalu diantara pukul 11.31 malam dan hingga pukul 2 pagi.

Tertuduh yang mempunyai dua orang anak juga didakwa atas dua pertuduhan melupuskan harta curi iaitu dekorder milik NADI Parit Sapran dan Peladang Pekan Nanas.

Kesalahan didakwa dilakukan di Parit Pasir, Jalan Sawah, Pekan Nanas dan Jalan Parit Sikom, Kayu Ara Pasong pada 29 Disember tahun lalu pada kira-kira pukul 12 hingga pukul 1 tengah hari. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Sahira Rosley manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Zulyati Awang.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi satu pertuduhan dan 12 bulan bagi empat pertuduhan. Kesemua hukuman berjalan serentak serta berkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 27 Disember tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI