fbpx
IBU bapa terbeban selepas segelintir pengusaha van sekolah menaikkan tambang untuk sesi persekolahan pada tahun ini. - Gambar Janaan AI

Tambang van sekolah naik lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kenaikan tambang van sekolah mencetuskan keluhan dalam kalangan ibu bapa terutama apabila tiada penjelasan terperinci diberikan oleh pengusaha bas sekolah.

Tinjauan Kosmo! mendapati, kadar baharu dikenakan meningkat antara RM10 hingga RM20 sebulan bagi seorang pelajar, bergantung kepada jarak dan kawasan, sedangkan ramai ibu bapa masih bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.

Suri rumah, Nur Aisyah Rahman, 39, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan pengusaha van sekolah mengenai kenaikan tambang sebanyak RM20 bermula sesi persekolahan baharu 12 Januari ini.

“Dulu bayar RM150 untuk 2024 dan 2025, tahun ini naik jadi RM170 untuk seorang anak. Saya ada dua orang anak bersekolah rendah, jadi memang terasa. Nak hantar sendiri, waktu kerja pula tak mengizinkan,” katanya.

Menurutnya, walaupun memahami kos operasi ditanggung pengusaha van sekolah, namun kenaikan secara kerap tanpa perbincangan lebih awal amat membebankan ibu bapa, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Keluhan sama disuarakan peniaga, Mohd. Firdaus Zainal, 42, menyifatkan kenaikan tambang van sekolah berlaku hampir setiap tahun.

“Alasan diberi kos penyelenggaraan kenderaan dan alat ganti mahal. Tahun lepas dah naik RM15, tahun ini naik lagi RM10 untuk seorang. Anak saya dua orang guna khidmat van sekolah untuk jarak perjalanan dari rumah sekitar 20 kilometer (km) pergi dan balik.

“Tapi gaji kami di peringkat swasta ini bukannya naik setiap tahun. Bayangkan sebulan untuk tambang sahaja RM360. Akhir­nya ibu bapa juga yang terpaksa ‘ikat perut’,” ujarnya.

Sebagai pengguna, Mohd. Fir­daus berharap pihak berwajib dapat memantau kadar tambang van sekolah agar lebih munasabah serta mempertimbangkan mekanisme kawalan atau garis panduan jelas supaya kebajikan semua pihak terpelihara.

Bagi kakitangan swasta dikenali sebagai Suraya, 38, berkata, tambang van sekolah bagi dua orang anaknya naik RM10 berbanding tahun lalu bagi perjalanan kira-kira 2.3km.

“Yuran untuk 2026, pergi atau balik sahaja RM60, RM110 untuk pergi dan balik. Sebelum ini pergi atau balik sahaja baru RM50.

“Untuk dua anak, 2024 saya kena bayar RM190, tahun 2025, RM210…tahun 2026 pula naik lagi RM220. Anak saya guna khidmat van ke sekolah rendah sesi pagi hanya untuk balik sahaja (sehala), tapi sesi petang ke sekolah agama bayaran untuk pergi dan balik,” katanya.

Dia yang tinggal di Shah Alam, Selangor menyifatkan kenaikan tambang itu sebagai tidak wajar memandangkan jarak perjalanan dan perkhidmatan disediakan adalah sama seperti sebelumnya.

“Tahun lepas naik, tahun ni pun naik. Patutnya tak perlu naik la tahun ini sebab servis sama, van sama. Jumlah anak yang naik van pun sama. Tidak ada apa yang baru disediakan pengusaha van,” katanya.

Dalam pada itu, peniaga, Mukmin, 43, berkongsi jumlah bayaran yang perlu dikeluarkan setiap bulan kira-kira RM580 untuk empat orang anaknya.

“Tahun 2026, pengusaha van naikkan harga RM15 selepas empat tahun tiada kenaikan. Untuk perjalanan sehala RM100, dua anak jadi RM200. Satu lagi pengusaha perjalanan dua hala jadi RM380 untuk dua anak lain.

“Jumlah itu lebih mahal daripada kos minyak kereta berulang-alik dari Bangi ke Petaling Jaya untuk bekerja. Tapi kami memang tiada pilihan, sebab rata-rata pengusaha van lain pun sama naik harga,” katanya.

Sementara itu, seorang pemandu van sekolah yang mahu dikenali sebagai Abu berkata, kenaikan tambang bagi sesi persekolahan 2026 terpaksa dibuat bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat, termasuk insurans serta penyelenggaraan kenderaan.

“Kami bukan sengaja nak ­naikkan tambang. Kalau tak naik, memang susah nak tampung kos,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN