fbpx
Orang ramai menyerbu Balai Polis Metro Depok hari ini. - Tribun Depok

Penduduk serbu balai polis, desak tangkap askar buat onar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Orang ramai menyerbu sebuah balai polis di Kota Depok, wilayah Jawa Barat bagi mendesak pihak berkuasa menahan suspek kes pembunuhan dua lelaki, yang mana salah seorang daripada pelaku ialah anggota tentera, lapor laman berita Tribunnews hari ini.

Dalam insiden hari ini, sejumlah penduduk termasuk ahli keluarga mangsa berarak ke Balai Polis Metro Depok di Jalan Margonda Raya.

Mereka mengikat kepala menggunakan kain putih, dengan ada daripadanya yang masuk ke dalam balai polis.

Sambil menjerit, orang ramai menceroboh masuk ke dalam bilik Unit Siasatan Jenayah (Satreskrim) sehingga mereka dihalang oleh pegawai polis.

“Nyawa diganti nyawa,” laung orang ramai.

Kemarahan mereka kemudian reda selepas polis berjanji untuk mengabulkan tuntutan mereka.

Peguam mangsa, Aziz Talalu berkata, orang ramai berada di sana untuk menuntut polis menangkap pelaku serangan ke atas anak guamnya.

Menurut Aziz, terdapat dua pelaku serangan yang membunuh anak guamnya, tetapi hanya seorang yang telah ditangkap, Sarjan M.

Ketua Perkhidmatan Penerangan Angkatan Laut Indonesia (Kadispen), Laksamana Muda Tunggul berkata, serangan bermula apabila Sarjan M dan seorang penduduk memerhatikan tingkah laku mencurigakan kedua-dua mangsa di kawasan kejiranan mereka.

“Kedua-dua mangsa disyaki cuba melakukan transaksi haram, mendorong Sarjan M untuk menggunakan kekerasan fizikal yang berlebihan.

“Sarjan M dan penduduk menggunakan kekerasan fizikal yang berlebihan terhadap kedua-dua mangsa,” kata Tunggul.

Akibatnya, kedua-dua mangsa segera dikejarkan ke Hospital Bhayangkara Brimob. Seorang daripada mereka meninggal dunia, manakala seorang lagi masih menerima rawatan akibat kecederaan parah. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI