TEHRAN – Pihak berkuasa Iran mengumumkan pemberian elaun bulanan kepada setiap rakyat negara itu untuk mengurangkan beban ekonomi susulan protes yang berlarutan selama lebih seminggu.
“Setiap orang menerima elaun bersamaan AS$7 (RM28) sebulan, yang akan dikreditkan ke akaun setiap selama empat bulan,” kata jurucakap kerajaan, Fatemeh MoHajjerani.
Beliau berkata, jumlah itu akan diberikan dalam bentuk kredit, Ia boleh digunakan untuk membeli barangan tertentu, bertujuan untuk mengurangkan tekanan ekonomi terhadap rakyat jelata.
Di Iran yang mempunyai populasi lebih 85 juta orang , gaji minimum adalah sekitar AS$100 (RM406), manakala purata gaji bulanan pula kira-kira AS$200 (RM812).
Kebanyakan rakyat Iran menggunakan telefon bimbit dan kad debit untuk pembelian harian dan bukannya wang tunai.
Ekonomi Iran bergelut akibat sekatan Amerika Syarikat (AS) dan antarabangsa berhubung program nuklear Tehran selama bertahun-tahun, manakala pada Disember 2025, kadar inflasi tahun ke tahun melonjak 52 peratus.
Mata wang Iran juga susut nilai lebih satu pertiga berbanding dolar AS sepanjang tahun lepas, menyebabkan kuasa membeli rakyat merosot, mengundang rasa tidak puas hati yang meluas di negara itu.
Sementara itu, protes disebabkan ketidakpastian ekonomi susulan penyusutan nilai mata wang Iran masuk hari kelapan semalam.
Protes merebak ke sekurang-kurangnya 40 bandar dengan kebanyakannya, bersaiz sederhana dan tertumpu di barat Iran, demikian menurut kiraan AFP berdasarkan pengumuman rasmi serta laporan media.
Setakat semalam, sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh termasuk anggota pasukan keselamatan. – AFP














