PETALING JAYA – Tempahan untuk menikmati hidangan di restoran pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming, ternyata penuh mencabar apabila cubaan membuat tempahan disifatkan lebih sukar berbanding mendapatkan tiket konsert.
Menerusi perkongsian di TikTok oleh @Nni.zlkfl, dia berkongsi perasaan teruja dapat menempah walaupun web restoran itu dilaporkan ‘crash’.
“Tidak tahu macam mana saya berjaya dapatkan tempahan. Tempahan dibuat dalam masa 15 minit, tapi wow… itu lebih stres berbanding tiket konsert,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Situasi itu turut mendapat perhatian Khairul Aming yang tampil memohon maaf atas kekeliruan apabila laman web tidak dapat menampung jumlah pelayar yang terlalu tinggi walaupun persediaan awal telah dilakukan.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian pengguna media sosial yang rata-rata berkongsi pengalaman gagal membuat tempahan dan meluahkan rasa kecewa.
“Aku dah putus asa semalam. Ramai sangat dan tidak mampu nak berebut. Tidak apalah, nanti saja,” komen Unknown.
“Dari sambal sampai ke kedai dia nak kena berebut, tidak pernah dapat-dapat. Tidak apa mungkin tiada rezeki, nanti kita cuba lagi,” kata Syaz Diana.
“Harap-harap lepas ini dia dapat tangani isu tempahan ni. Dia ramai peminat, mesti ramai yang akan buat tempahan. Tidak apalah untuk permulaan,” komen Hanief Zahar. – KOSMO! ONLINE














