PETALING JAYA – Kementerian Pertahanan (Mindef) akan menyiasat dakwaan kemasukan individu tidak berkaitan dan berlakunya aktiviti tidak bermoral dalam kem tentera seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarahkan menjalankan siasatan dalaman dengan segera bagi memastikan kesahihan dakwaan tersebut secara menyeluruh.
“Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar ATM yang berteraskan disiplin, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.
“Jika didapati benar, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak selaras dengan peraturan, tatacara serta undang-undang semasa,” katanya.
Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi Kementerian Pertahanan dan ATM.
Jelas kenyataan itu, kementerian dan ATM turut menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan tahap disiplin, integriti dan profesionalisme warga pertahanan berada pada tahap tertinggi.
“(Kementerian Pertahanan) juga tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti institusi pertahanan negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














