JERANTUT – Seorang lelaki warga emas membuktikan kasih sayang terhadap isterinya tiada penghujung apabila menjaga wanita itu yang terlantar ekoran angin ahmar di Felda Sungai Tekam di sini.
Abdul Halim Abdul Hamid, 65, berkata, dia sentiasa berada di sisi isterinya, Rozita Abd. Ghani, 60, yang memerlukan penjagaan rapi khususnya bagi mengendalikan mesin menyedut kahak.
“Keadaan isteri makin membimbangkan kerana dia tidak mampu mengeluarkan kahak sendiri. Tanpa bantuan mesin ini, isteri berisiko untuk lemas. Selama 24 jam saya perlu memantau keadaannya, tidur pun tak lelap,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Sungai Tekam di sini semalam.
Pesara kilang itu berkata, isterinya diserang angin ahmar sehingga rebah ketika mengemas rumah bagi persiapan menyambut merdeka pada tahun lalu sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
“Pemeriksaan mendapati isteri saya mengalami tekanan darah yang sangat tinggi menyebabkan pembuluh darah pecah. Doktor segera melakukan prosedur kecemasan dengan membuang tempurung kepala sebelah kanan bagi mengurangkan tekanan pada otak dan mengeluarkan darah beku,” katanya.
Menurut warga emas itu, isterinya bukan sahaja hilang upaya seluruh anggota badan, malah tidak mampu menelan secara normal sehingga doktor terpaksa menebuk satu saluran di leher untuk menyalurkan susu khas berharga RM160 satu tin, selain memakai lampin pakai buang sepanjang masa.
“Anak-anak sudah berkeluarga dan tinggal di tempat lain. Mereka datang ke sini setiap hujung minggu,” katanya yang memerlukan kira-kira RM3,000 sebulan untuk membeli susu khas, lampin pakai buang, tisu basah, ubat-ubatan dan menyelenggara mesin sedut kahak.
Tambahnya, perbelanjaan juga terpaksa dikeluarkan untuk menyewa kereta bagi membawa isterinya mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Felda Jengka 8 dan menjalani pemeriksaan pakar secara berkala di Hospital Jengka dan HTAA.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi di talian 013-4372983 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Abdul Halim Abdul Hamid bernombor 1560 2001 0408.














