LONDON – Chelsea digesa sekurang-kurangnya membuat pendekatan awal terhadap bekas pengendali Liverpool, Jurgen Klopp susulan keputusan mengejut Enzo Maresca meninggalkan Stamford Bridge selepas kemerosotan prestasi ketara pasukan.
Kelab London itu mengesahkan perpisahan dengan Maresca selepas hanya meraih dua kemenangan daripada sembilan perlawanan terakhir dalam semua kejohanan, sekali gus menyaksikan The Blues terperosok ke tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL).
Bekas pemain sayap Chelsea, Joe Cole berpendapat menggesa Chelsea berfikiran terbuka dengan sekurang-kurangnya menghubungi Klopp, meskipun mengakui peluang untuk merealisasikannya bukan mudah.
“Situasi luar biasa perlukan pemikiran luar kotak. Chelsea patut hubungi Klopp. Kita tak pernah tahu kemungkinan yang ada,” ujar Cole.
Bagaimanapun, Cole turut melihat pengendali Strasbourg, Liam Rosenior sebagai calon paling realistik sejajar dengan hala tuju pemilik kelab, Todd Boehly yang cenderung memilih jurulatih muda berorientasikan pembangunan.
Dalam pada itu, Cole percaya bahawa Maresca tidak diberikan masa yang mencukupi, selain menyifatkan tugas pengurus moden kini semakin terhad akibat campur tangan struktur dalaman kelab.
Menurutnya, kuasa sebenar pengurus kini semakin mengecil, termasuk dalam aspek pemilihan pemain dan pengurusan kecergasan, sekali gus memberi tekanan berlebihan untuk membentuk skuad terbaik. – AGENSI














