JURULATIH beregu wanita negara, Rosman Razak, bertekad membantu gandingan No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah menamatkan ‘badi’ tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia yang membelenggu pasangan itu sejak tiga edisi lalu.
Rosman mengakui sedar mengenai rekod kurang memberangsangkan anak buahnya di laman sendiri, namun enggan perkara itu terus menghantui mentaliti pemainnya itu menjelang aksi pembuka tirai di Arena Axiata, minggu ini.
“Saya pun baru tahu mereka tidak melepasi pusingan pertama sejak tiga tahun lalu. Sebenarnya kita mahukan keputusan terbaik.
“Untuk mereka (Pearly-Thinaah), tak realistik kalau saya kata cuma nak mereka main sahaja. Jika mereka sertai kejohanan, sasaran realistik adalah sekurang-kurang empat terbaik. Itu adalah realistik.
“Itu perkara biasa yang sesiapa pun akan cakap. Tapi, kita kena ambil satu demi satu sepanjang kejohanan sebab Terbuka Malaysia adalah kejohanan pertama tahun ini. Musim ini masih panjang kerana tahun 2026 ini banyak lagi kejohanan besar yang kita harus uruskan,” katanya.
Mengulas mengenai tahap kecergasan pemainnya yang mengharungi jadual padat hujung tahun lalu termasuk beraksi di Jelajah Dunia Akhir (WTF), Rosman menuntut gandingan itu bijak mengendali tekanan.
“Tipu jika saya katakan mereka sentiasa bersedia setiap hari, pasti ada pasang surutnya. Namun, inilah kehidupan sebagai pemain ranking teratas dunia. Suka atau tidak, mereka perlu terima tekanan dan uruskan situasi ini sebaik mungkin.
“Kita tidak boleh ambil mudah kejohanan ini hanya disebabkan keletihan akibat jadual kejohanan yang padat. Kita kena terima cabaran dan sasaran yang diletakkan,” jelasnya.














