fbpx
Haritz Iklil memenangi pingat emas 50 meter rifle tiga posisi lelaki Sukan SEA Thailand.

Siswa antara penyumbang emas Sukan SEA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEJOHANAN Sukan SEA Thailand 2025 baru sahaja berakhir bulan lalu dan kontinjen Malaysia mencatatkan prestasi membanggakan.

Malaysia berjaya berada di tempat keempat dengan membawa pulang sebanyak 231 pingat terdiri daripada 57 emas, 57 perak dan 117 gangsa.

Malah, ada atlet-atlet negara yang menyumbang pingat emas sebenarnya masih berstatus sebagai seorang mahasiswa di universiti awam.

Atlet-atlet daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut mewakili negara untuk kejohanan tersebut.

Atlet daripada UPM sahaja telah menyumbang 11 pingat emas untuk negara dalam temasya itu.

Antaranya menerusi acara hoki, gimnastik, olahraga, wushu, menembak, skuasy dan bola jaring.

Salah seorang penyumbang pingat adalah penembak negara, Haritz Iklil Hessly Hafiz yang merupakan pelajar di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi di UPM dengan meraih satu pingat emas dan satu gangsa untuk negara.

Dia berjaya menyumbang pingat emas untuk acara 50 meter (m) Rifle 3 Position dan bidikan Haritz Iklil pada aksi final turut memecahkan rekod temasya dengan catatan 447.5 mata.

Berkongsi dengan K-Kampus tentang kejayaannya meraih pingat emas untuk negara, pemuda yang berusia 25 tahun itu menyatakan bahawa dia gembira dan bersyukur atas kejayaan tersebut.

“Pada awalnya saya meletakkan sasaran tiga terbaik sahaja untuk acara individu dan juga berpasukan.

“Rezeki menyebelahi saya apabila berjaya meraih emas untuk acara individu dan gangsa untuk berpasukan,” katanya yang berasal dari Selangor.

Persaingan Haritz Iklil untuk acara individu amat sengit lantaran dia perlu bersaing dengan atlet dari Indonesia dan Thailand yang masing-masing pernah beraksi di Sukan Olimpik.

Dalam masa sama, Haritz Iklil juga berhadapan cabaran tersendiri untuk bertanding di Sukan SEA kali ini.

Haritz Iklil mengakui cabaran yang paling berat adalah untuk membanggakan keluarganya dengan mencipta kejayaan di dalam kejohanan tersebut.

Ketika kejohanan emosinya juga masih mengenangkan arwah bapanya, Allahyarham Hessly Hafiz Hussain yang baru menghembuskan nafas terakhir akibat strok dua bulan lalu.

“Ketika bermula saingan final hingga habis, saya cuba untuk tenang dan saya hanya teringat arwah ayah. Sepatutnya dia datang saksikan saya di sini tetapi tidak berkesempatan.

“Saya mendedikasikan pingat emas yang saya dapat ini kepada ayah saya kerana dia sangat menyokong saya di dalam sukan ini,” jelasnya.

Menceritakan tentang penglibatannya dalam sukan menembak, Haritz Iklil menjelaskan, bapanya yang memperkenalkan sukan tersebut kepada dirinya pada tahun 2015.

Dia dibawa bapanya ke Kelab Sukan Menembak Subang untuk mencuba sukan tersebut.

“Ayah saya bukan atlet menembak tetapi dia mahu saya mencuba dan melihat sama ada saya benar-benar berminat.

“Pada tahun 2016, saya diserap untuk mewakili Selangor, tiga tahun kemudian saya diserap untuk pasukan pelapis negara,” katanya.

Kejohanan antarabangsa pertama Haritz Iklil sertai adalah Kejohanan Menembak Asia Tenggara dan bertanding dalam kategori junior serta berjaya meraih pingat emas.

Dalam pada itu, meskipun bergelar atlet negara, ia tidak mengganggu tanggungjawab Haritz Iklil sebagai seorang mahasiswa di UPM.

“Alhamdulillah, setakat ini saya masih boleh mengimbangi kedua-duanya.

KONTINJEN Malaysia dalam Sukan SEA 2025 Thailand baru-baru turut disertai golongan mahasiswa.

“Namun, untuk fokus kepada Sukan SEA kali ini saya mengambil keputusan untuk menangguhkan pengajian untuk satu semester. Pihak universiti juga sangat memberi sokongan dan memahami komitmen saya sebagai sebagai atlet negara,” terangnya.

Pengorbanan untuk menangguhkan pengajian untuk satu semester ternyata membuahkan hasil buat Haritz Iklil apabila dia berjaya meraih pingat emas untuk kejohanan Sukan SEA Thailand kali ini.

Kini, Haritz Iklil terus fokus untuk memberikan aksi terbaik dan meraih lebih banyak pingat buat negara.

Malah, dia menyasarkan untuk melayakkan diri ke Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Dalam pada itu, pasukan bola jaring yang turut menyumbang emas buat negara pada kejohanan Sukan SEA turut dianggotai golongan siswi antaranya Adalia Jasmine Mustazal dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Siti Maisarah Affandi dari UPM.

Salah seorang yang ditemu bual K-Kampus, Adalia Jasmine merupakan pelajar Diploma Sains Aktuari di UiTM Seremban 3, Negeri Sembilan.

Gadis berusia 19 tahun itu menyatakan dirinya amat berbangga dan bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada pasukan bola jaring negara yang menyumbang emas dalam Sukan SEA.

“Sejujurnya saya tidak sangka pada usia yang masih muda, saya dapat bermain di tahap ini bersama dengan pemain berpengalaman yang lain.

“Alhamdulillah, akhirnya kerja keras saya selama ini membuahkan hasil,” katanya.

Menceritakan penglibatannya dalam arena sukan bola jaring, Adalia Jasmine berkata, dia mula terlibat dengan sukan tersebut sejak di bangku sekolah rendah.

Pada usia 11 tahun, dia telah mewakili Selangor untuk kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Kemudian, dia memilih untuk meneruskan persekolahan di Sekolah Sukan Kuala Lumpur di Titiwangsa untuk terus mengembangkan lagi bakatnya di dalam sukan tersebut.

Dia kemudian mula mewakili Kuala Lumpur untuk kejohanan MSSM, Remaja Kebangsaan dan Sukma.

Bakat yang ada dalam dirinya telah membolehkannya untuk dipanggil menyertai pasukan remaja dan senior.

“Saya melakukan debut pertama untuk pasukan remaja dan senior pada tahun 2025.

“Dapat menyarung jersi negara di dalam sukan bola jaring merupakan satu kebanggaan buat saya,” jelasnya yang bermain di posisi pertahanan.

Sebelum terpilih untuk mewakili pasukan kebangsaan bersaing di kejohanan Sukan SEA Thailand, Adalia Jasmine terlebih dahulu telah dipanggil untuk menyertai beberapa kejohanan.

Dia terpilih untuk mewakili negara untuk Kejohanan Remaja Asia yang berlangsung di Korea Selatan, Kejohanan Remaja Dunia di Gibraltar dan Kejohanan Nations Cup di Singapura.

Sebagai atlet bergelar mahasiswa, Adalia Jasmine mengakui ia amat mencabar

“Saya tidak belajar sepenuh masa kerana latihan dan kejohanan. Namun, saya bersyukur kerana dikelilingi rakan-rakan yang banyak membantu mengemas kini nota dan tugasan serta pensyarah yang sangat memahami.

“Selain itu, inisiatif diri sendiri juga penting untuk sentiasa ‘mengejar’ pelajaran,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN