BANDAR RAYA NEW YORK – Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya dikelilingi ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) sebaik sahaja mereka tiba di Amerika Syarikat (AS) selepas serangan berskala besar dilancarkan ke atas negara Amerika Selatan itu, lapor akhbar The Sun UK.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan Maduro dan isterinya, Cilia Flores tiba di Pangkalan Udara Pengawal Kebangsaan Stewart, New York.
Maduro yang memakai pakaian berwarna kelabu turun dari pesawat dalam keadaan bergari dan dikawal oleh puluhan ejen FBI.
Mereka dijadualkan berdepan pertuduhan berkaitan narko-keganasan dan senjata di Mahkamah Persekutuan Manhattan.
Pasangan suami isteri itu dibawa keluar dari bilik tidur mereka di kompleks tentera yang diperkukuh selepas ditangkap oleh tentera AS semasa operasi berskala besar dilancarkan ke atas Venezuela semalam.
Tangkapan itu adalah sebahagian daripada operasi ketenteraan khas dipanggil ‘Absolute Resolve’ yang disokong oleh serangan udara berskala besar.
Maduro ditahan di atas kapal perang USS Iwo Jima di Laut Caribbean sebelum dibawa ke New York dalam keadaan matanya ditutup.
Pemimpin itu turut dilihat memakai pelindung telinga dan penutup mata hitam tebal dengan sebotol air di tangan.
Presiden Donald Trump berkongsi imej itu beberapa minit sebelum beliau mengumumkan bahawa AS akan mentadbir Caracas sehingga peralihan kuasa yang selamat dan teratur dapat dilaksanakan.
“Kami akan mentadbir negara itu sehingga peralihan kuasa yang selamat, teratur dan adil dapat dilaksanakan,” kata Trump dalam sidang akhbar. – AGENSI














