ALOR SETAR – Disangka bahagia hingga ke usia senja, namun jodoh pasangan berusia 50 hingga 65 tahun ke atas kini turut berakhir di mahkamah apabila kes perceraian melibatkan golongan itu semakin meningkat.
TikTok dan Facebook didakwa menjadi ‘perampas kasih’ dalam rumah tangga apabila ramai isteri merasakan seperti hidup bersendirian kerana suami terlalu leka menatap skrin berbanding berbicara dengan pasangan sendiri.
Terdapat juga kes perceraian berpunca daripada alasan remeh, antaranya kerana badan pasangan berbau, selain ada isteri yang gemar mengikut rombongan tetangga sehingga makan minum suami terabai.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan perceraian melibatkan lelaki berusia 50 tahun ke atas sebanyak 10,716 kes pada 2023 dan meningkat kepada 11,304 kes pada 2024.
Bagi wanita pula, kes perceraian bagi lingkungan umur tersebut meningkat kepada 7,316 kes pada 2024 berbanding 6,736 kes pada 2023.
Peguam syarie, Amalina Adam berkata, mengikut statistik firma guamannya, kes perceraian pasangan Islam berusia 50 tahun ke atas meningkat sejak tiga tahun kebelakangan ini iaitu 327 kes pada 2022, pada 2023 (354 kes) dan 2024 (392 kes).
Menurutnya, pihak isteri yang kebiasaannya memulakan tindakan tuntutan perceraian dan membuat pengaduan kepada peguam syarie serta mahkamah syariah kerana kegagalan suami menunaikan tanggungjawab.
Katanya, tuntutan perceraian pasangan warga emas di hadapan hakim syarie pada 2024 mengikut statistik firma guaman kami melibatkan kes-kes tuntutan fasakh iaitu 80 pasangan, tuntutan perceraian (152), cerai taklik (50), pengesahan lafaz cerai (100) dan lain-lain jenis perceraian (10).
“Oleh demikian, saya dapat simpulkan bahawa kes yang paling kerap berlaku adalah kes melibatkan tuntutan perceraian di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Menurutnya, secara peribadi, beliau melihat punca perceraian antara orang muda dengan warga emas tidak jauh berbeza dengan faktor yang paling biasa, disebabkan isu kewangan.
Katanya, isu kewangan timbul asbab masalah pengangguran atau tidak bekerja akibat faktor usia serta keadaan kesihatan.
“Jadi, duit semakin kurang dan apabila kewangan makin merosot, maka akan berlaku pergaduhan akibat dibebani dengan perbelanjaan bulanan dan kos hutang piutang yang perlu dibayar.
“Tambahan pula, jika ada melibatkan tanggungan kos perubatan, mulalah tercetus perbalahan untuk menanggung pasangan yang sakit itu,” katanya. -KOSMO! ONLINE














