PETALING JAYA – Letupan kuat daripada sebuah silinder gas helium di sebuah medan selera dekat Sungai Ramal, Kajang sekitar pukul 12 tengah hari tadi, menyebabkan dua buah gerai dan tiga kenderaan rosak teruk serta mencetuskan suasana panik dalam kalangan penduduk serta pengunjung.
Bagaimanapun, dalam kejadian itu, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurut perkongsian seorang saksi, Wani Amyra, dia sedang makan di sebuah kedai berhampiran sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan yang sangat kuat sehingga bergegar satu kawasan.
“Tiba-tiba dengar bunyi letupan kuat. Bergegar satu kawasan. Lepas makan, aku nak balik lalu la kawasan Ramal Junction (medan selera). Sekali…tong gas meletup,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Kata wanita itu, silinder gas berkenaan dilihat melayang melintasi kawasan padang dan surau sebelum jatuh menimpa sebuah kereta penduduk yang tinggal berhampiran surau tersebut.
“Habis kecoh group (kumpulan) Taman Sri Ramal hari ini..Alhamdulillah, mujur tiada kemalangan jiwa,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati silinder gas helium tersebut dipercayai digunakan untuk belon di salah sebuah gerai di medan selera berkenaan.
Menurut beliau, setakat ini kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang unsur jenayah dan punca sebenar kejadian serta nilai kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, seramai enam anggota bersama sebuah jentera telah digerakkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, kenderaan yang terjejas melibatkan sebuah Proton Wira yang mengalami kerosakan kira-kira 30 peratus, manakala Perodua Axia (10 peratus) dan Perodua Myvi (lima peratus).
Dalam pada itu, seorang pengguna media sosial @evil_heart85 memaklumkan sebuah silinder gas dianggarkan seberat antara 30 hingga 40 kilogram walaupun tidak berisi penuh, sekali gus menjelaskan impak letupan yang sangat kuat.
“Kalau kena orang atau budak-budak memang bahaya. Mujur jatuh atas kereta,” katanya. – KOSMO! ONLINE














