fbpx
Tujuh beradik yang menerima kad pengenalan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di kediaman mereka di Sungai Buaya, hari ini. Foto oleh AMIR KHALID

7 beradik miliki IC selepas bertahun hidup tanpa dokumen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU SELANGOR – Tahun 2026 membuka tirai dengan sinar baharu buat tujuh beradik apabila penantian bertahun-tahun mereka untuk memiliki dokumen pengenalan diri akhirnya berakhir.

Penyerahan kad pengenalan daftar lewat itu dilakukan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada tujuh beradik berkenaan di Sungai Buaya, sekali gus menamatkan episod panjang kehidupan tanpa identiti rasmi.

Bagi Nur Hakika Ismail, 24, anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata, kehidupan mereka sebelum ini penuh kekangan kerana tidak pernah bersekolah dan hidup tanpa sebarang dokumen.

“Sejak kecil kami tak bersekolah. Hidup di kampung saja, tak ada peluang. Orang hina, kata kami tak sekolah, tak ada dokumen lama-lama jadi biasa.

“Ke mana-mana pun rasa takut, sebab tak ada surat beranak, tak ada kad pengenalan. Hidup rasa tak normal, tak macam orang lain,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Tujuh beradik menerima kad pengenalan berkenaan merupakan Ahmad Shahmil Ismail ,30, Muhammad Fazril Ismail (29); Nur Hakimah Ismail (26) Nur Hakikah Ismail (24) Nur Laila Ismail (22) Nur Shakila Ismail (19) dan Zakaria Ismail (17).

Menurutnya, proses mendapatkan dokumen pengenalan diri itu dibantu beberapa pegawai dan sukarelawan yang membantu menguruskan urusan JPN serta memberikan bimbingan.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Nur Hakika berkata, dia mahu adiknya berusia 19 tahun mengejar pendidikan walaupun tidak pernah melalui sistem persekolahan formal.

“Saya mahu (adik saya) belajar apa yang patut dia belajar. Walaupun tak pernah sekolah, belum terlambat. Ilmu ada di mana-mana,” ujarnya.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, kesemua mereka telah menerima kelulusan permohonan Daftar Lewat Sijil Kelahiran pada 8 Dis 2025, diikuti kelulusan Daftar Lewat Kad Pengenalan pada 23 Disember 2025.

Jelasnya, pendaftaran lewat tersebut berpunca daripada perkahwinan ibu bapa yang tidak didaftarkan, sekali gus menjejaskan proses urusan dokumen pengenalan diri anak-anak.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila bapa telah meninggal dunia sekitar 2023 yang menyebabkan keperluan untuk mendapatkan sampel Ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) daripada waris terdekat seperti bapa saudara.

“Sebaik maklumat permohonan tersebut sampai kepada JPN, kita meminta keluarga ini hadir ke pejabat JPN dan kita menjalankan semakan melalui Bahagian Kelahiran dan Kematian serta menjalankan siasatan bagi mengesahkan pertalian anak-anak dengan ibu bapa mereka.

“Hasil siasatan termasuk DNA membuktikan pertalian keluarga tersebut. Selain itu, perkahwinan ibu bapa juga telah didaftarkan semula dan disahkan oleh mahkamah, yang merupakan satu keperluan penting dan apabila semua keperluan dipenuhi, sijil kelahiran dapat dikeluarkan dengan taraf warganegara, diikuti pengeluaran kad pengenalan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Badrul Hisham menyeru semua warganegara supaya mendaftarkan perkahwinan mengikut undang-undang, kerana proses itu bukan sekadar urusan pentadbiran, sebaliknya menjadi perlindungan asas terhadap hak anak-anak pada masa hadapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN