MELAKA – Seorang kru helikopter Super Lynx Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terlibat dalam pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang akan dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Pangkalan TLDM Lumut, Perak, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pemindahan melibatkan Bintara Kanan Technician Marine Srimala (Kuater Master Udara) Mohammad Zullfika Mohiddi yang mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan betis.
Katanya, seorang lagi kru, Leftenan Komander Afiq Muzani Abdul Aziz TLDM, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.
“Mohammad Zullfika yang berada di zon kuning Unit Kecemasan Hospital Melaka akan dipindahkan ke (HAT) Lumut hari ini.
“Afiq masih di ICU, menunggu keadaan stabil sebelum sebarang pemindahan dibuat,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai perkembangan terkini dua kru helikopter Super Lynx yang masih dirawat di Hospital Melaka.
Terdahulu, kedua-dua kru terbabit cedera selepas helikopter Super Lynx dinaiki bersama dua yang lain melakukan pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang, kelmarin.
Insiden itu berlaku kira-kira pukul 10.50 malam ketika pasukan itu melaksanakan penerbangan demonstrasi sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-60 Grup Gerak Khas (GGK), Tentera Darat Malaysia (TDM).
Dua lagi kru yang turut cedera, namun telah selesai mendapatkan rawatan di hospital ialah Leftenan Komander Muhamad Kamal Abdul Rani TLDM dan Leftenan Mohammad Faiz Razali TLDM.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Adly Zahari ketika menziarahi kedua-dua kru di hospital semalam turut memaklumkan pihak kementerian sedang mendapatkan kerjasama antara Hospital Melaka dan Hospital Angkatan Tentera Lumut bagi kemungkinan pemindahan mangsa.
Beliau berkata, salah seorang kru iaitu Afiq bagaimanapun masih memerlukan pemantauan rapi di ICU susulan mengalami komplikasi di paru-paru.-KOSMO! ONLINE














