fbpx
FARISYA (kiri) dan Eilisha menunjukkan pingat emas dimenangi pada Sukan SEA 2025 baru-baru ini.

Saingan terjun di Asia makin sengit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMPEN skuad terjun negara di Sukan SEA 2025 mencerminkan realiti baharu saingan Asia yang semakin mencabar, memaksa Malaysia mengambil pendekatan lebih berfasa dan strategi dalam pembangunan atlet, khususnya Sukan SEA 2027 di laman sendiri.

Akuatik Malaysia (MAS) menjelaskan prestasi pasukan kali ini berlaku dalam fasa peralihan program dengan perancangan jelas ke arah pembangunan jangka panjang dan pengukuhan asas skuad muda.

“Kempen ini mencerminkan sebuah program yang sedang melalui fasa transisi, berpandukan perancangan rapi dan keutamaan pembangunan jangka panjang,” menurut kenyataan MAS.

Berhadapan persaingan serantau yang semakin sengit dalam kategori individu, skuad negara mengambil pendekatan terkawal dengan memberi fokus kepada acara seirama, sambil mengurus risiko dalam terjunan individu berimpak tinggi dari segi tahap kesukaran.

“Dengan persaingan yang sangat sengit dalam acara individu, pasukan memilih pendekatan lebih terukur dengan menumpukan disiplin seirama dan mengawal risiko bagi terjunan individu berkesukaran tinggi,” jelas MAS.

Pendekatan itu membuahkan hasil apabila Malaysia meraih dua pingat emas acara seirama, iaitu Nurqayyum Nazmi-Yong Rui Jie (3 meter papan anjal lelaki) serta Nur Eilisha Rania-Nurul Farisya Alia (platform wanita), selain gangsa Yong Rui Jie dalam 1 meter papan anjal lelaki.

Meskipun tahap kesukaran terjunan masih dalam fasa pembangunan, MAS menegaskan persembahan atlet berada selari dengan tahap kemajuan dan jangkaan semasa program.

MAS turut mengakui kegagalan menyapu bersih pingat bukan sesuatu yang mengecewakan, sebaliknya dianggap langkah penting dalam proses membina pasukan lebih kukuh dan berdaya tahan.

“Walaupun hampir mencapai sapuan bersih, temasya ini menjadi satu langkah ke hadapan yang penting dengan semakin ramai penerjun muda memperoleh pendedahan dan pengalaman antarabangsa,” jelas MAS.

Dengan kumpulan penerjun muda ini bakal menjadi tunjang utama program pada masa hadapan, MAS menegaskan persiapan ke arah kejohanan besar termasuk Sukan SEA 2027 akan diteruskan dengan keyakinan dan hala tuju yang jelas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN