PETALING JAYA – Sambutan ambang Tahun Baharu di Bukit Bintang Kuala Lumpur semalam berlangsung meriah, namun dicemari dengan sampah selain menyebabkan beberapa kerosakan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, antara kerosakan yang berlaku melibatkan pokok hiasan di tepi jalan disyaki dipijak sebahagian pengunjung yang berada di kawasan berkenaan.
“Sebagai warga kota yang bertanggungjawab, marilah kita bersama-sama menjaga kemudahan awam serta memelihara landskap bandar yang turut menjadi aset keindahan Kuala Lumpur.
“Kerjasama dan keprihatinan semua pihak amat dihargai bagi memastikan bandar raya kita kekal indah, teratur dan selesa untuk dinikmati bersama,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Menurut DBKL, kerja-kerja pembersihan turut dilaksanakan di sekitar Bukit Bintang sejurus selesai sambutan ambang Tahun Baharu bagi memastikan kawasan kembali bersih, teratur dan selesa untuk orang ramai.
Katanya, tumpuan diberikan kepada kerja mengutip sisa, pembersihan jalan, pembersihan laluan pejalan kaki serta kawasan tumpuan pengunjung.
Semalam, puluhan ribu pengunjung memenuhi pekarangan jalan Bukit Bintang sempena Festival Kira Detik Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pavilion Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE














