KLUANG – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang melanggar belakang sebuah kereta di Kilometer (KM) 76, Jalan Kota Tinggi-Kluang berhampiran Taman Sri Lambak di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, nahas pada pukul 3 pagi itu mengorbankan Mohamad Arif Haikal Abd. Rahman, 19, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika motosikal si mati dan kereta Proton Saga dinaiki lelaki dan wanita berusia 24 dan 25 tahun dari dari arah sama Kota Tinggi menghala ke bandar Kluang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu lelaki berusia 25 tahun itu memasuki simpang kanan ke Taman Sri Lambak sebelum dilanggar motosikal mangsa di belakang.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal cedera parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin, siasatan dijalankan mengikut Syeksen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk dibedah siasat. Pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan. – KOSMO! ONLINE














