SINGAPURA – Seorang lelaki warga Malaysia yang dikaitkan dengan sindiket penipuan berpangkalan di Kemboja ditahan ketika memasuki Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands, lapor laman berita MSNews semalam.
Menurut satu kenyataan media dikeluarkan Pasukan Polis Singapura (SPF), suspek bernama Goh Eugene, 24, didakwa di mahkamah.
Dia ditahan Ahad lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah (CID), polis Singapura.
Dia dikenal pasti melalui siasatan berterusan terhadap sebuah Kumpulan Jenayah Terancang (OCG) yang berpangkalan di Phnom Penh, Kemboja.
Suspek dipercayai merupakan ahli kumpulan tersebut yang didakwa terlibat dalam penipuan penyamaran sebagai pegawai kerajaan yang menyasarkan mangsa di Singapura, dengan sekurang-kurangnya 438 kes dilaporkan melibatkan kerugian sekurang-kurangnya SG$41 juta (RM129 juta).
Sindiket penipuan itu terbongkar hasil operasi bersama polis Kemboja pada 9 September lalu yang membawa kepada penahanan 15 suspek di Singapura.
Mereka terdiri daripada 12 warga Singapura, dua warga Malaysia dan seorang warga Filipina.
SPF turut mengeluarkan perintah larangan pelupusan dan merampas aset yang dikaitkan dengan sindiket berkenaan sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan.
SPF memaklumkan pada 29 Oktober lalu bahawa pihaknya sedang memburu 34 lagi individu yang disyaki menjadi ahli sindiket tersebut. Mereka terdiri daripada 27 warga Singapura dan tujuh warga Malaysia.
Mereka dipercayai beroperasi dari kompleks penipuan yang sama di Phnom Penh. – AGENSI














