PETALING JAYA – Sebuah keluarga di Kampung Wakuba, Tawau, Sabah berdepan cabaran membesarkan anak autisme apabila terpaksa merantai kaki pemuda itu sejak enam tahun lalu bagi mengelakkannya melarikan diri dan terdedah kepada bahaya.
Ayu Nazira Edu Hamjan, 28, berkata, keputusan itu amat berat dan merupakan langkah terakhir yang terpaksa diambil buat adiknya, Mohd.
Razlie, 23, selepas pelbagai usaha yang dilakukan gagal demi keselamatannya dan orang sekeliling.
Katanya, adiknya yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik tidak menunjukkan perkembangan normal sejak berusia tiga hingga lima tahun.
“Dia sukar berkomunikasi, tidak peka dengan persekitaran seperti alami masalah autisme.
“Sehingga kini kami belum pernah membawanya berjumpa doktor pakar, jadi tidak tahu tahap sebenar yang dia hadapi. Selama ini kami membuat pemerhatian sendiri dan rawatan tradisional,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Tambahnya, cabaran terbesar keluarga adalah apabila adiknya sering cuba melarikan diri termasuk menuju ke jalan raya.
“Pernah berlaku dia tiba-tiba mengamuk, lari ke jalan dan hampir mencederakan diri sendiri. Kami sangat takut kalau dia dibiarkan tanpa kawalan,” katanya.
Ujar Ayu Nazira, mereka akhirnya terpaksa merantai kaki Mohd. Razlie, selepas pelbagai kaedah lain seperti mengawasi secara bergilir, mengurung dalam rumah dan menenangkan secara lisan gagal.
“Dia boleh lari dalam sekelip mata walaupun diawasi dan jadi agresif bila dihalang. Rantai itu dibuka apabila hendak mandi atau diberi ruang untuk bergerak lebih bebas dengan pengawasan,” katanya.
Menurut Ayu Nazira, adiknya pernah dipukul kerana disangka menceroboh ketika memasuki rumah jiran.
“Sebenarnya dia hanya mahu main tong simpanan air di situ. Kami juga berdepan tekanan emosi akibat pandangan negatif segelintir jiran, namun ada juga yang memahami ekoran tindakan kami yang merantai kakinya,” katanya.
Ujar Ayu Nazira, setakat ini Mohd. Razlie belum pernah menerima sebarang bantuan daripada hospital, Jabatan Kebajikan Masyarakat mahupun pertubuhan bukan kerajaan.
“Kami tak tahu prosedur dan saluran yang betul untuk mohon bantuan. Kekangan kewangan dan kurang pendedahan maklumat buat kami urus sendiri semuanya.
“Kami dari dulu tinggal dengan ibu. Ayah pula sudah uzur dan dijaga keluarga sebelahnya, tinggal berasingan. Adik-beradik yang bekerja ada dua orang, merekalah tulang belakang ibu sekarang,” ujarnya.
Mengakui tiada perancangan khusus untuk masa depan pemuda itu seperti sekolah khas atau pusat jagaan, Ayu Nazirah berharap kisah ini membuka mata pihak berkaitan untuk tampil membantu.
“Kami sangat berharap ada jalan penyelesaian. Kami mahu adik dijaga dengan lebih baik, selamat dan bermaruah. Kami cuma keluarga biasa yang kekurangan kemampuan, tapi kami sayangkan dia,” katanya.














