fbpx
Aedy Fadly. Foto oleh FAISOL MUSTAFA

Eksklusif: Kutipan JPJ cecah RM5.65 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan kutipan hasil tertinggi dalam sejarah apabila berjaya memperoleh sebanyak RM5.65 bilion tahun ini dengan kutipan bulan Oktober dan Disember mencapai angka melebihi RM500 juta sebulan.

Pencapaian kutipan itu turut disumbangkan melalui pelaksa­naan diskaun 50 peratus yang ditawarkan JPJ terhadap pelbagai kesalahan bermula 1 November hingga 30 Disember lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kutipan hasil 2025 berjaya menca­tatkan peningkatan sebanyak 6.05 peratus berbanding hanya RM5.33 bilion pada tahun lalu. Untuk rekod, kutipan hasil direkodkan JPJ pada 2023 ialah sebanyak RM5.074 bilion, manakala pada 2022 sejumlah RM4.90 bi­lion.

Katanya, kutipan hasil melibatkan Lesen Kenderaan Motor menyumbangkan nilai tertinggi iaitu sebanyak RM3.43 bilion.

“Kutipan hasil bagi Lesen Memandu Malaysia pula sebanyak RM614 juta dan kutipan saman pula berjumlah RM426 juta,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan, orang ramai menyerbu pejabat JPJ di seluruh negara untuk menjelaskan saman lalu lintas pada hari terakhir kelmarin.

Rata-rata mereka tidak mahu melepaskan peluang menikmati dis­kaun sehingga 70 peratus bermula 1 November lalu yang ­terpakai untuk semua jenis saman kecuali yang tidak boleh dikompaun.

Aedy Fadly (tengah) memeriksa kenderaan semasa Ops Penutup Hari Raya 2025 di Plaza Tol Kemuning, Shah Alam pada April lalu.

Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, pelaksanaan pendigitalan perkhidmatan JPJ secara menyeluruh seperti aplikasi MyJPJ menjadi antara faktor pengekalan kutipan melebihi RM5 bilion pada tahun ini.

“Selain itu, pelaksanaan pelbagai operasi penguatkuasaan dan kempen keselamatan serta pengukuhan tadbir urus, selain kawalan dalaman dan integriti turut menjadi faktor penyumbang kepada kejayaan kutipan itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ops Perang Lebih Muatan dilancarkan pada 14 Oktober lalu sehingga semalam bagi membanteras kesalahan kenderaan barangan yang membawa muatan melebihi had berjaya merekodkan kesalahan 3,563 kende­raan.

“Sehingga 30 Disember lalu, sebanyak 169,965 buah kende­raan telah diperiksa dan 6,340 buah kenderaan telah ditimbang. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,563 buah kenderaan telah didapati melakukan kesalahan membawa muatan melebihi had berat yang dibenarkan.

“Ia melibatkan sebanyak 1,698 buah kenderaan kategori Berat Dengan Muatan (BDM) 7,500 kilogram (kg) ke bawah, manakala 1,182 kenderaan adalah kategori BDM 7,501 kg hingga 32,000 kg, selain 670 kenderaan kategori BDM 32,001 ke atas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN