PETALING JAYA – Ratusan kubur lama dipercayai berusia lebih 100 tahun di Kota Tinggi, Johor dipindahkan ke tempat lain untuk rancangan tambatan banjir di kawasan berkenaan.
Menerusi video dikongsikan seorang kakitangan Jabatan Mufti Johor, Muhammad Nazrul Salleh memperlihatkan proses pemindahan kubur lama tersebut dengan kawasan sekitarnya kelihatan seperti belukar.
“Hari pertama pemindahan kubur lama. Doakan kami moga dipermudah urusan,” menurut kapsyen pada video dimuat naik kelmarin, disusuli dengan video hari kedua pada semalam.
Menerusi ruangan komen, Muhammad Nazrul memaklumkan, terdapat 260 lebih kubur melibatkan tiga tapak perkuburan dipindahkan dari tempat berkenaan.
“Tadi ada waris si mati datang. Cucu si mati, cucu pun umur dah 75 tahun. Bayangkan datuknya umur dah berapa tahun. Tahun akhir kebumi pada 1948. Ada yang dah 100 tahun lebih waktu zaman perang dunia.
“74 tahun dah ditinggalkan. Ni pun dah nampak bersih. Kalau tak, dah macam hutan tebal. Sebelum gali memang kita buat tanda dulu. Macam kubur ni, kebanyakan tiada batu nisan sebab kubur dah lama.
“Untuk waris pula, kita dah maklumkan cuma ada sembilan waris yang dapat kesan. Untuk kebumikan semula, kita memang buat liang macam biasa, cuma tiga kaki dalam sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@muhdnazrulsallehHari kedua. Pemindahan kubur lama. Alhamdulilah ❤️














