PETALING JAYA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sarawak, Jaziri Alkaf Abdillah Suffian mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Tindakan itu susulan keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN di peringkat nasional.
Jaziri berkata, beliau mengambil maklum keputusan Tan Sri Muhyiddin dan menzahirkan penghormatan terhadap kepimpinan tertinggi gabungan itu yang telah melantiknya memegang jawatan berkenaan di Sarawak.
“Oleh yang sedemikian, sebagai menghormati jawatan saya yang dilantik oleh Pengerusi Perikatan Nasional, saya dengan ini memaklumkan peletakan jawatan saya selaku Pengerusi Perikatan Nasional Sarawak berkuat kuasa 1 Januari 2026,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Jaziri menegaskan, keputusan tersebut dibuat selaras dengan prinsip akauntabiliti dan penghormatan terhadap struktur kepimpinan parti, selain memastikan kelangsungan hala tuju PN Sarawak dapat diteruskan secara teratur.
Jaziri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh kepimpinan Perikatan Nasional Sarawak atas sokongan serta kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh beliau menerajui gabungan itu di peringkat negeri.- KOSMO! ONLINE.














