PENGEMBANGAN fasiliti pusat pembuatan, pemasangan, ujian dan sokongan teknologi merupakan langkah strategik bagi memperkukuh keupayaan operasi syarikat dalam memenuhi permintaan pasaran global yang semakin meningkat.
Selain itu, ia juga meningkatkan kecekapan rantaian bekalan serta mempercepatkan penyampaian penyelesaian pembuatan pintar kepada pelanggan serantau dan antarabangsa.
Di Malaysia, kemudahan ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan pembuatan pintar serantau, malah mencerminkan peranannya yang semakin penting dalam rantaian nilai teknologi global.
Sehubungan itu, penyedia penyelesaian pembuatan pintar dari Taiwan, SYNTEC Technology terus memperkukuh kehadiran di Malaysia apabila melancarkan pembangunan fasiliti Fasa II SYNTEC Intelligence Technology Sdn. Bhd. di Selangor dengan nilai pelaburan melebihi RM78 juta.
Menurut Pengarah Global SYNTEC Intelligence, Otis Siah, pelaburan strategik ini mencerminkan keyakinan jangka panjang syarikat terhadap ekosistem perindustrian tempatan, sekali gus menyokong permintaan luar negara yang semakin meningkat serta memperkukuh daya tahan rantaian bekalan global.
“Pelaburan baharu ini didorong terutama oleh peningkatan permintaan daripada industri mesin alat atau machine tool, khususnya dari pasaran India yang sedang berkembang pesat.
“Dalam landskap pembuatan global yang semakin dinamik dan berdepan cabaran geopolitik serta ketidaktentuan rantaian bekalan, langkah SYNTEC ini dilihat selari dengan strategi penempatan global berteraskan pelanggan,” katanya ketika berucap semasa majlis Pecah Tanah Projek Fasa II fasiliti SYNTEC Intelligence Technology Sdn. Bhd., di Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor, baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han dan wakil agensi serta komuniti perniagaan Taiwan dan Malaysia.
Tambahnya, pelaksanaan pelaburan secara berperingkat ini juga membolehkan syarikat mengekalkan fleksibiliti operasi sambil mengurus risiko pelaksanaan dengan lebih berkesan.
Pengembangan operasi di Malaysia bukan sekadar melibatkan pembesaran kapasiti fizikal, sebaliknya berfungsi sebagai nod penting dalam rangkaian operasi global kumpulan itu.
Kongsinya lagi, kemudahan baharu ini akan membolehkan SYNTEC memberi sokongan yang lebih pantas dan responsif kepada pelanggan di rantau ASEAN, di samping memperkukuh kerjasama dengan rakan strategik serantau.
Pendekatan ini turut mempercepatkan masa tindak balas terhadap perubahan permintaan pasaran.
“Fasiliti Fasa II yang dijadualkan siap pada awal 2027 ini akan menumpukan kepada aktiviti pembuatan dan ujian pengawal industri selain pemasangan serta pengesahan sistem lengan robotik pintar.
“Keupayaan ini selari keperluan industri moden yang makin bergantung kepada automasi, robotik dan teknologi pembuatan pintar bagi meningkatkan kecekapan serta produktiviti,” ujarnya.
Katanya lagi, apabila beroperasi sepenuhnya, fasiliti ini dijangka menjadi hab pembuatan luar negara utama SYNTEC yang menyokong pasaran strategik seperti India, Turki, ASEAN dan Amerika Syarikat.
Kehadiran hab ini di Malaysia bukan sahaja memendekkan tempoh penghantaran, malah meningkatkan keupayaan bekalan tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada satu lokasi pembuatan semata-mata.
Sementara itu, Pengarah Bebas SYNTEC Technology, Grant Kuo berkata, projek ini mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat terhadap pertumbuhan mampan.
“Dengan memperkukuh kehadiran pembuatan di luar negara, SYNTEC bukan sahaja meningkatkan fleksibiliti rantaian bekalan globalnya, malah meletakkan kumpulan itu pada kedudukan yang kukuh untuk merebut peluang pertumbuhan di pasaran berpotensi tinggi.
“Penglibatan pelbagai pihak juga mencerminkan sokongan berterusan kerajaan negeri dan Persekutuan terhadap pelaburan teknologi bernilai tinggi,” kongsinya.
Projek pembangunan ini dilaksanakan bersama syarikat pembinaan tempatan, Pembinaan Tuju Setia Sdn. Bhd., dan akan menggabungkan reka bentuk bangunan hijau, kaedah pembinaan cekap tenaga serta perancangan kilang pintar.
Inisiatif ini selari dengan komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Kumpulan SYNTEC yang menekankan kelestarian alam sekitar, tadbir urus bertanggungjawab dan pertumbuhan jangka panjang yang mampan.














