fbpx
Durian musang king Balik Pulau masih mendapat permintaan tinggi biarpun harga jualannya mencecah RM65 sekilogram.

Musang king Balik Pulau ‘king’ sebenar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Walaupun durian musang king di negeri-negeri lain ‘turun takhta’ apabila har­ganya merudum, namun durian kayangan itu di Balik Pulau di sini, masih kekal berada di ‘ran­king’ teratas.

Malah, harga jualan musang king Balik Pulau tetap tinggi antara RM45 hingga RM65 sekilogram berbanding negeri-negeri lain yang mengalami kejatuhan harga sehingga RM10 sekilogram.

Seorang peniaga durian Balik Pulau, Johan Abu bakar, 42, berkata, rata-rata peniaga di daerah itu kini berdepan dengan fenomena ‘perang harga’ musang king dari Perak dan Pahang yang kini dijual murah.

Katanya, durian premium keluaran dari dusun Balik Pulau itu masih dianggap sebagai ‘ikon’ istimewa di hati peminat tegar raja buah meskipun ada yang mempersoalkan tentang perbezaan harga jualannya ketika ini.

“Kami, peniaga amat terkesan dengan lambakan dan penurunan harga durian musang king di Pahang dan Perak. Memang ada pelanggan yang mempersoalkan tentang harga jualannya dan membandingkan dengan musang king di tempat lain.

“Durian dari daerah ini mempunyai keistimewaan dan identiti yang tersendiri dan disebabkan itu kami masih mengekalkan harga mengikut standard populari­tinya iaitu antara RM45 hingga RM65 sekilogram,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana durian musang king Balik Pulau masih menjadi rebutan dalam kalangan peminat durian sehingga ada yang sanggup membuat tempahan awal untuk menikmati keaslian rasanya.

“Setiap hari ada sahaja pe­langgan yang datang mencari buah musang king Balik Pulau. Permintaan durian premium ini amat menggalakkan terutama daripada peminat tegarnya.

“Durian ini baru sahaja luruh sejak lebih seminggu lalu. Memang saya tak menang tangan terima tempahan pelanggan termasuk durian spesies lain pada musim ketiga, tahun ini.

“Mereka tak tunggu lama dan terus datang terus ke gerai,” ujarnya yang berniaga durian di Kampung Permatang Pasir, Jalan Sungai Pinang, Balik Pulau.

Katanya, durian duri hitam kini dijual pada harga RM58 hingga RM75 sekilogram, hor lor dan udang merah RM40 hingga RM45 sekilogram, manakala khum poh dan durian kahwin dijual dari RM28 hingga RM38 sekilogram.

Kosmo! semalam melaporkan, musang king sebelum ini digelar durian kayangan, namun kini ‘jatuh takhta’ apabila harga pasaran menjunam sehingga RM10 sekilogram gara-gara lambakan hasil kebun di seluruh negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN