fbpx
ANGGOTA APMM menunjukkan guni berisi biji timah yang dirampas ketika menahan bot barter trade di barat daya Pulau Sialu, Batu Pahat, semalam. IHSAN APMM

APMM rampas 6 tan biji timah bernilai RM600,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BATU PAHAT – Cubaan sekumpulan tiga lelaki Indonesia menyeludup masuk enam tan biji timah ke negara ini tidak berhasil apabila bot barter trade dinaiki mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Batu Pahat, semalam.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, bot berkenaan ditahan sekitar pukul 3 pagi, kira-kira 0.1 batu nautika di barat daya Pulau Sialu, hasil operasi penguatkuasaan maritim yang dijalankan.

Menurut beliau, pemeriksaan ke atas bot tersebut menemui 120 guni berisi bijih timah dengan anggaran berat keseluruhan sekitar 6,000 kilogram dan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967.

“Seramai tiga kru bot terdiri daripada seorang tekong dan dua awak-awak warganegara Indonesia berusia antara 33 hingga 59 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Perintah Penahanan (Detention Order, DO) awal juga telah dikeluarkan terhadap bot berkenaan”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohammad Zaini berkata, bot bersama muatan dan kru kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut mengikut
peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan kejayaan rampasan itu mencerminkan komitmen APMM dalam membanteras aktiviti penyeludupan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN