KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur (KL) merekodkan kutipan bayaran saman tertunggak berjumlah RM7.2 juta sejak 1 November lalu sehingga semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, jumlah itu melibatkan sebanyak 104,900 saman yang dijelaskan dalam tempoh dua bulan.
Menurut beliau, sambutan orang ramai pada peringkat awal pembukaan kaunter bayaran saman dilihat sederhana, namun tetap konsisten dengan kehadiran pengunjung setiap hari.
“Bagaimanapun, dalam tempoh dua hari kebelakangan ini, jumlah kehadiran meningkat ketara dengan 5,500 orang datang untuk menjelaskan saman,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya membuka kemudahan tambahan susulan arahan Ketua Polis KL dan Pengarah JSPT Bukit Aman bagi memastikan urusan orang ramai berjalan lancar dan teratur.

“Sebanyak enam khemah disediakan selain 19 kaunter bayaran saman dibuka di seluruh Kuala Lumpur. Kita juga menyediakan air minuman sebagai kemudahan asas kepada pengunjung,” katanya.
Mohd. Zamzuri berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 11 kaunter dibuka di JSPT Kuala Lumpur termasuk tiga kaunter khas untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
“Selain itu, tiga kaunter dibuka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, dua kaunter di IPD Wangsa Maju dan tiga lagi di IPD Dang Wangi menjadikan keseluruhan 19 kaunter bayaran saman,” ujarnya.
Pihaknya berharap segala usaha yang dilaksanakan dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai yang hadir untuk menyelesaikan saman masing-masing. – KOSMO! ONLINE














